Truyen3h.Co

Terindah Pernah Ada

Bab 4

karyaseni2u

RUMAH Mak Piah berada di lokasi paling hujung dalam Kampung Teluk Kiri sebelum melintas masuk ke Kampung Teluk Kanan iaitu kampung Hurairah.

Ada satu jambatan kayu yang telah lama dibina untuk memudahkan kedua-dua penduduk kampung melintas ke seberang namun keadaannya sudah tidak selamat. Lantai kayu ada yang sudah mereput dan berlubang.

Jadi majoriti penduduk lebih suka memilih jalan darat. Jalan pintas tetapi terpaksa meredah jalan di celah-celah kebun getah milik orang kampung. Kalau guna kereta memang kena pusing ikut laluan yang lebih jauh.

Keluasan tanah rumah Mak Piah memang luas tapi sayang penuh semak samun! Bila di penghujung usia, rumah yang besar dan luas sudah tidak terjaga. Daun-daun kering yang berguguran dibiarkan sahaja di tanah.

Iyyad sudah bersedia memulakan tugasnya. Kain bandana berwarna hitam dikeluarkan dan diikat menutup separuh wajahnya. Hanya kelihatan sepasang mata cantik yang redup dengan rambut yang terjuntai di dahi diikat kemas.

Dua pasang sarung tangan kain yang disimpan di dalam kocek belakang seluarnya dikeluarkan. Sepasang dihulurkan kepada Syed. Walaupun sekadar mengemas, sarung tangan mesti dipakai untuk keselamatan diri.

Pap! Belum pun mula bekerja lengan sudah dihinggap nyamuk. Elok sangatlah Mak Piah minta dia kemaskan. Nanti jadi markas nyamuk terus mengundang pelbagai penyakit kepada orang kampung.

Botol-botol minyak yang sudah kosong dan terbiar berlonggok di luar stor terus dialihkan ke tepi. Papan lama yang hampir reput dimamah anai-anai juga dialih ke tepi dengan berhati-hati. Bimbang andai ada binatang berbisa bersembunyi di bahagian bawah.

Kemudian dia menapak ke bahagian depan pintu. Besi-besi buruk yang sudah berkarat dibiarkan berlonggok di situ. Kesemuanya juga diasingkan penuh berhati-hati.

Krekkk.

Pintu stor dibuka sedikit. Iyyad mengeluarkan lampu picit bersaiz kecil dari kocek seluarnya. Dia menyuluh di segenap ruang.

Satu per satu barangan yang berlonggok di dalam stor dibelek. Sehari pun belum tentu habis nak dipunggah keluar. Di setiap para penuh bersusun barangan lama.

Agak-agak dah berapa lama semua barangan ni tersimpan dalam stor yang agak besar ni? Ada yang masih elok dan ada yang sudah boleh dibuang.

Iyyad mengeluh kecil. Memang tenaga orang muda yang diperlukan untuk mengangkat dan mengemas kembali barang-barang di dalam ini.

"Orang tua-tua memang suka simpan barang lama-lama. Mak aku pun macam tu jugak. Depa rasa sayang nak membuang padahal buat semak rumah adalah." Suara Syed memecah kesunyian.

"Arwah Tok Nan yang sayang. Mak Piah relaks aje. Kalau dia sayang semua ni takkan dia suruh kita clear semua barang-barang lama ni," balas Iyyad. Syed duduk di atas tong cat lama. Belum pun mula memunggah tetapi peluh sudah merintik-rintik di dahi.

"Mak Piah, lampu terbakar ke? Gelap lagu ni macam mana nak buat kerja? Kang tersilap buang nanti Mak Piah juga yang hingaq!" jerit Syed separa kuat kepada Mak Piah yang berada di luar stor. Terkocoh-kocoh wanita itu menapak masuk sambil menggagau suis lampu yang berada di tepi pintu sahaja.

"Hah... Barulah cerah biji mata ni. Mujur menyala lagi. Ingatkan dah arwah." Terus Syed berkata dalam nada melawak.

"Yad, bila boleh siap? Kalau boleh siap cepat lagi baguih." Soalan Mak Piah membuatkan Iyyad menggaru kepala. Syed hanya tersengih memandang wajah Mak Piah.

Kerja-kerja memunggah semua barang ni bukan makan masa sehari dua. Bukan senang nak angkut keluar barangan yang besar dan berat. Itu belum nak punggah ke semua papan.

"Tok nak buang semua ke? Sayanglah," soal Iyyad kembali sambil membelek barangan yang masih elok.

"Betul. Banyak lagi yang elok dan boleh guna ni. Takkan nak buang semua, tok?" tukas Syed laju.

"Anak-anak suruh buat rumah sewa. Kalau penaik bata dari sini sampai ke belakang tu boleh dapat empat lima buah rumah. Dapat juga duit sewa bulan-bulan," ujar Mak Piah dengan sengihan lebar. Iyyad dan Syed saling berpandangan.

"Uih... Kayalah nanti. Cukup bulan makan duit sewa aje. Tak mau ambil saya jadi anak angkat ke? Saya boleh tolong kutip sewa nanti." Syed menyambung bicara. Mak Piah tersipu-sipu malu tapi muka belum cukup berona merah.

"Anak aku lapan orang dah. Kena jadi laki aku baru boleh kutip duit sewa." Selamba Mak Piah melawak.

"Mau ka depa tu panggil saya bapak? Sat gi depa cincang saya lumat atas pelamin. Saya jadi anak angkat ajelah tapi kalau tok nak jugak kita kahwin, tok kena pi boh gigi tu dulu. Baru segak merenyih atas pelamin ada gigi penuh," sambung Syed terus melayan.

"Nanti aku boh gigi mas. Biaq nampak segak lip lap," balas Mak Piah. Kemudian terkekek-kekek mereka berdua membuang tawa. Dua ketul manusia yang buat lawak gelak sendiri!

Iyyad geleng kecil. Inilah padahnya kalau dua-dua jenis melawak lepas. Syed pun boleh tahan melayan. Kadang mulutnya lebih cepat daripada tangan ketika bekerja. Iyyad ketap bibir seraya memerhati sekeliling. Setelah berfikir barulah dia berani beri kata putus.

"Esok atau lusa kut. Hari ni saya mai tengok dulu tapi barang-barang yang kecik ni boleh bawa keluar dah ni. Saya kumpul dulu kat depan kot-kot ada yang nak mai ambil. Nanti saya akan panggil Abang Muzi mai kutip. Dia ada lori jadi senang sikit sekali angkut ja," cadang Iyyad.

Mak Piah terus angguk. Dia ikut setuju saja asalkan semua kerja dapat dibereskan cepat.

Dummm!!! Bunyi yang kuat itu menghambat pandangan mereka bertiga serentak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co