Bab 7
Lambat atau cepat... jadi jangan berhenti berdoa.
GULAI ikan lebihan semalam dipanaskan semula di atas dapur sementara menunggu nasi masak. Iyyad mencapai papan pemotong lalu menghiris bawang besar dan cili.
Dua biji telur ayam dipecahkan ke dalam mangkuk plastik. Sedikit garam ditabur agak secukup rasa lalu dipukul rata. Nama pun orang bujang jadi satu atau dua lauk dah cukup. Syukur ada gulai dan telur dadar untuk mengalas perut.
Selesai menggoreng telur dadar, dia mengemas kembali perkakas yang digunakan. Semuanya diletakkan kembali di tempat asal. Selepas ibunya meninggal tiada satu barang pun yang diubah. Semuanya dikekalkan kerana itulah yang mengingatkan kenangan tentang ibunya.
Krek! Bunyi daun pintu belakang ditolak perlahan. Seperti dijangka Syed datang bersama-sama mangkuk tingkatnya.
Tersengih lebar dia sambil meletakkan bekas makanan itu di atas meja makan. Satu per satu dibuka dengan penuh berhati-hati takut kuahnya tertumpah.
"Apa tu?" soal Iyyad.
"Sodap ni. Masak lemak air tangan Mak Nab. Ni sambal belacan dengan pucuk ubi. Yang ni pulak sambal tumih udang. Perghhh, sedap ni weh. Jom kita makan. Lapar ni. Hang masak apa?" Syed mengusap perut sudah tidak sabar.
"Aku perangat gulai semalam dan goreng telur. Elok juga hang bawak lauk lain. Aku pun dah lapar tapi tunggu sepuluh minit lagi. Aku lupa tekan suis tadi," jawab Iyyad selamba.
Syed terus mencebik. Penat dia berlari-lari datang ke mari sebab nak menjamah bersama-sama. Masuk kali ni sudah kali keberapa Iyyad asyik lupa tekan periuk elektriknya. Entah apa yang berselirat dalam fikirannya. Iyyad tarik kerusi dan membelek telefon bimbit sementara menunggu beras ditanak menjadi nasi.
"Hang dah tengok ka surat hari tu?" Syed bertanya perihal beberapa hari yang lalu.
"Surat? Surat apa?" Soalan dibalas soalan. Dahi Iyyad berkerut memandang kepada Syed. Tertanya-tanya kalau dia tercicir sesuatu.
Syed tepuk dahi. Teruk sungguhlah kawannya yang sorang ni. Serba-serbi nak kena tanya dan ingatkan. Belum pun tua tetapi dah lupa perkara yang penting walaupun acap kali dipesan.
"Kan aku dah suruh hang tengok berjaya ke tak? Mana hang letak surat tu?" Syed bingkas bangun melilau di ruang tamu mencari surat yang dimaksudkan. Kali ini biar dia sendiri yang melihat isi kandungan surat tersebut. Iyyad mengekor punggung Syed dari belakang.
"Surat apa ni? Mana ada posmen mai kemarin," soalnya kalut.
"Surat yang aku letak bawah pintu minggu lepas. Kan aku suruh hang tengok masa kita nak pi rumah Mak Piah. Hang dah buang ka?" tebak Syed. Wajahnya sedikit risau kalau-kalau Iyyad betul-betul dah terbuang.
"Isy... Rasa aku tak buang," jawab Iyyad yakin. Terus otaknya ligat berfikir di mana dia simpan. Sesaat kemudian dia sengih lebar dan melangkah masuk ke dalam bilik. Surat yang diletakkan di celah kain pelekat yang dilipat kemas itu dicapai lalu diberikan kepada Syed.
"Bukalah. Aku dah boleh agak jawapan depa tu," katanya lalu terus menuruni anak tangga menuju ke dapur. Dia mencapai botol air mineral yang ada di atas meja lalu dituang ke dalam cawan.
Senyap. Tiba-tiba...
"Arghhh... Wow! Hoi Yad! Yihaaa..." Kedengaran suara jeritan dari ruang tamu. Syed bersorak kalah tuan punya surat. Belum sempat minum dan dia cepat-cepat meletakkan kembali cawan di atas meja lalu bergegas naik semula ke ruang tamu.
Riak wajah Syed menggambarkan segalanya walaupun dia belum tahu keputusannya. Syed nampak gembira melayang surat di depan matanya. Berjayakah dia?
Perasaan yang tenang-tenang tadi terus libang-libu jadinya. Adakah kali ini akan membawa sinar? Sinar yang dia harapkan. Perlahan-lahan dia mengambil surat itu dari pegangan Syed.
Debaran.
Terkedu!
Surat yang diterima beberapa hari lepas baru dibuka dan dibaca. Mujur masih sempat. Berkali-kali dia tenung satu perkataan yang tertera pada permulaan ayat. Sukar nak percaya biarpun berkali-kali mereka membacanya.
Renaissance Creative Consultant Sdn. Bhd. bukan asing lagi dalam industri pengiklanan jenama di Malaysia. Syarikat itu sudah mengaut keuntungan besar melalui penjenamaan semula produk dan lain-lain perkhidmatan pengiklanan.
Di situ jugalah muncul nama-nama besar sebagai illustrator dan pereka grafik seperti Maizun. Otai lama yang berjaya menukar dunia pengiklanan menjadi lebih segar. Ketika belajar dahulu nama Maizun antara yang selalu disebut-sebut oleh pensyarah.
Iyyad terus terduduk di atas kerusi. Direnung setiap patah perkataan yang tertera atas sekeping kertas putih itu.
"Ya Allah. Betul ke ni? Aku saja-saja cuba nasib ja. Duk rasa macam tipis ja peluang tu." Iyyad tenyeh matanya dua kali. Dia tersenyum puas. Akhirnya ijazah yang digenggam tidak sia-sia. Masih ada syarikat besar yang pandang dan mahu beri peluang kepada orang-orang yang zero pengalaman macam dia.
"Depa tawarkan aku jawatan lain?!"
"Jadi pelukis ka? Eloklah tu memang cita-cita hang, kan!"
Iyyad geleng perlahan. Pelik.
"Jangan fikir pasal tu. Sekarang ni hang patut rasa happy sebab dah dapat kerja. Tak kesahlah jawatan apapun asalkan dapat masuk situ. Hang sendiri kata ni syarikat besar. Inilah yang orang kata bila kita berbakti pada ibu bapa, rezeki tu pasti ada untuk kita. Cepat atau lambat aje, Yad."
Iyyad terdiam. Keterujaan tadi sudah hilang terujanya. Kenapa lain yang diharap tapi lain yang menyusul tiba? Iyyad telan liur sendiri. Roman wajahnya bertukar kecewa.
"Awatnya?" soal Syed.
"Ni bukan jawatan yang aku nak!"
Terus Syed menepuk-nepuk bahu Iyyad. "Kadang-kadang Tuhan tak bagi apa yang kita nak. Cukuplah dapat apa yang kita perlukan."
Kata-kata itu membuatkan Iyyad tersentak. Ayat yang sama selalu diucapkan oleh arwah ibunya. Ya, hanya Tuhan yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Inilah masanya! Rezeki tak pernah salah alamat!
"Sunyilah aku lepas ni. Kalau hang tak ada boringlah hidup aku. Sapa nak ikut aku pi mengai. Member-member yang lain okey tapi hang lagi okey." Syed tersengih kelat sambil menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal. Belum pun Iyyad pergi tetapi hatinya dah mula rasa lain.
"Aku pun akan rasa macam tu. Patut ke aku terima ni?" Iyyad kembali berbelah bagi. Inilah masalah dia bila terlalu fikirkan perasaan orang lain melebihi diri sendiri.
"Patut. Takkan hang dah lupa janji hang dekat arwah mak hang? Kalau arwah mak hang masih ada, mesti dia pun seronok macam aku tadi. Sia-sia bayar hutang pinjaman sampai habis tapi tercerok juga di kampung macam aku. Pi ajelah. Mana tau boleh jadi sumber inspirasi anak-anak muda di kampung kita. Hang juga kata teringin nak berhijrah. Tunggu apa lagi?" Kening kanan Syed terjongket ke atas. Iyyad angguk tanda setuju. Peluang baik takkan dapat selalu.
"Hang call Hurairah dan bagi tau pasal ni dekat dia. Kalau ada masalah hang boleh cari dia. Tumpang duduk dengan dia dulu kalau susah nak cari rumah kat sana. Takkan hang nak berulang hari-hari," pesan Syed berkali-kali. Perangainya dah macam mak-mak berpesan kepada anak.
"Jap. Aku call dia sekarang jugak!" sambung Syed seraya menggagau telefon bimbit di dalam kocek seluarnya. Iyyad terus memegang tangan Syed.
"Ya Allah, Edd. Kadang aku tak rasa yatim piatu pun. Hang selalu ada untuk ingatkan aku itu ini. Masa aku susah dan aku senang. Hang tak pernah berkira dengan aku. Adik-beradik pun belum tentu macam ni. Terima kasih, Edd."
"Aku dah anggap hang macam adik aku tau walaupun aku ni tua empat bulan ja dari hang," katanya dengan senyuman.
Senyap.
"Satu ja aku harap hang jangan lupa diri. Jangan lupa asal usul. Jangan lupa solat dan... jangan lupakan aku! Aku tak pi mana pun. Hidup mati aku cuma kat sini temankan mak aku," ujarnya menyembunyikan rasa hiba. Dalam hiba bersulam rasa bangga dengan kejayaan sahabat baiknya itu.
"Kata satu aje. Ni dah berderet-deret pesanan penaja. Macam tak rela lepaskan aku."
"Haippp... Kenalah pesan. Manalah tau umur kita tak panjang... Mati ni bukan boleh jangka..."
Iyyad terus memeluk erat tubuh Syed. Entah kenapa di hujung-hujung kata-kata Syed membuatkan hatinya tersentuh.
Kalaulah Syed tahu yang bibirnya tak pernah lekang memanjatkan doa agar sahabatnya itu dikurniakan kesihatan yang baik dan diberikan umur yang panjang. Ya, dia sayangkan Syed macam seorang adik yang sayangkan abangnya. Berpuluh tahun persahabatan mereka disimpul mati.
"Aku lapaqlah. Nasi masak dak lagi?" Syed mengusap perut. Bau masak lemak dan pucuk ubi menusuk hidungnya.
"Dah. Jom. Hari ni hang tak payah basuh pinggan. Biar aku buat semua," kata Iyyad tersenyum. Tubir mata yang berkaca-kaca cepat-cepat diseka.
"Amboi... Sejak bila rajin kalah anak dara ni?"
"Entah bila pula kita boleh makan-makan sekali, kan? Lepas ni hang kena belajar makan di rumah sendiri. Hang tak kesian ka biaq mak hang makan sorang-sorang?"
"Mana ada dia makan sorang-sorang. Awal pagi lagi anak-anak kak aku dah mai. Penuh dalam rumah tu. Adik-adik aku pun ada. Sat depa bergelak sakan lepas tu ada yang bergaduh sampai teriak-teriak. Hesy, aku bukan boleh sangat dengar budak-budak duk gheyiau. Tu yang aku lari mai sini... Kat sini tenang. Hehehe," ujar Syed dengan sengihan lebar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co