Bab 9
Kadangkala apa yang diharap tidak seiring dengan takdir yang tersusun.
11 Januari - 9.40 am.
JAM di tangan ditenung lagi. Masuk yang ini entah kali keberapa dia menilik waktu sementara menunggu orang yang belum kunjung tiba.
Berdebar? Adalah sikit memandangkan hari ini merupakan hari pertama dia lapor diri. Mujurlah Hurairah sanggup hantar dia sampai ke depan pintu ofis. Hilang sikit rasa gugup tu.
"Encik Hidayad boleh tunggu di sini," ujar salah seorang staf Renaissance bernama Hawa. Itulah nama yang tertera di tagnya. Orangnya tinggi lampai dan tampil bergaya dengan kasut tumit tinggi yang runcing hujungnya.
Wajahnya biasa-biasa seperti orang kebanyakan tetapi tampak tegas dan serius. Kadang-kadang wanita itu memandangnya dari atas hingga ke bawah tanpa sepatah kata.
"Oh ya... Awak jangan pergi mana-mana. Tunggu sini sampai ketua awak datang," pesan Hawa sekali lagi. Iyyad hanya mengangguk walaupun sebenarnya banyak persoalan dalam fikirannya. Tadi bertiga kenapa sekarang hanya dia sahaja yang kena tunggu di ruangan ini? Pelik.
"Yang lain boleh ikut saya. Kita pergi ke tingkat atas. Saya akan perkenalkan kepada senior team," lanjut Hawa kepada dua lagi pekerja yang baru. Kedua-duanya perempuan dan masih muda.
"Errr... Puan Hawa, saya seorang ke kena tunggu di sini?" Akhirnya dia beranikan diri minta pencerahan. Musykil.
"Ya." Pendek dan tegas jawapannya. Tiada langsung penerangan lanjut. Pula tu riak wajah yang serius terus membuatkan Iyyad tak jadi nak lanjutkan soalan seterusnya.
Tup! Tap! Tup! Tap! Kasut tumit tinggi berwarna merah itu ranggi mengatur langkah. Yang lain pun patuh mengekor dari belakang.
Dia saja yang setia menunggu. Yang pasti ketuanya bukan Muzamir ataupun Loi. Jauh sekali untuk dia mendekati Maizun memandangkan ruang kerja terpisah. Mereka di atas dan dia di bawah.
Siapa agaknya? Nama di pintu pun tidak kelihatan. Suasana di sini pun agak suram. Hiasan di dalam bilik ini bertemakan warna hitam!
Hitam adalah persepsi bagi kuasa, kekuatan, elegan, misteri dan mewah. Kadang ia juga warna untuk menunjukkan kebijaksanaan selain ciri serius dan kuat bekerja yang mampu membangkitkan emosi yang kuat.
Nampaknya ketua barunya menggemari warna itu memandangkan hiasan dan perabot lebih banyak hitam berbanding putih. Warna keemasan pada pasu bunga dan bingkai foto di atas meja menyerlahkan cita rasa mahal tuan empunya meja.
Cantik tetapi tidak ngam di matanya. Warna mempengaruhi mood seseorang. Belum apa-apa dia sudah menguap berkali-kali. Tiada warna yang cerah-cerah untuk membuatkan matanya tertarik.
Janji jam sepuluh pagi tapi batang hidung ketuanya tak nampak pun lagi walaupun jarum sudah menginjak ke angka sebelas. Sempat dia membuta sekejap kerana terlalu bosan dan mengantuk. Mujurlah ketua tak muncul ketika dia tengah terlelap.
Sejujurnya menunggu seseorang cukup memenatkan! Bosan. Boring dan bermacam-macam rasa lagi! Duhai bos, hadirlah cepat!
LANGKAH Hawa berhenti betul-betul di ruang tengah tingkat atas. Setelah menerangkan setiap stesen barulah dia mengiring kedua-dua staf baru ke ruang kerja Muzamir.
"Ain dan Dhia bertanggungjawab untuk bantu senior team. Nanti saya perkenalkan kepada Tuan Muzamir. Hari ni dia tak ada sebab ada meeting di luar. Sekarang ni company kita memang sibuk. Ada tiga job kita terikat dengan agensi pelancongan. Jangan merungut pula kalau kena balik lewat."
Kedua-dua wanita hanya mengangguk tanda faham.
"Tuan Muzamir ni baik tapi dia paling pantang kalau staf di bawah dia banyak merungut daripada bekerja. Dia tak suka staf yang curi tulang. Dia pantang kalau staf berulang kali buat kesilapan yang sama. Jangan sesekali tangguh kerja yang dia bagi. Orang yang sambil lewa ketika bekerja jelas menunjukkan dia pemalas. Hanya mengharapkan gaji semata-mata. Ha, satu lagi dia paling pantang kalau berlaku plagiarisme. Taking someone else's work or ideas and passing them off as one's own...Ermmm, orang macam tu tak layak di sini. Ingat tu," lanjut Hawa lagi. Ain dan Dhia saling berpandangan. Tegas satu macam. Belum pun berjumpa Muzamir tapi dah bermacam-macam andaian timbul di dalam benak fikiran mereka.
"Tingkat paling atas sekali reka bentuk susun atur dan pembangunan web. Kalau perlukan apa-apa sila berhubung dengan Mr. Latifi Osman bin Ismail a.k.a LOI. Ada apa-apa nak tanya setakat ni?" soal Hawa terus mengatur langkah di bahagian lain.
"Bilik bawah tadi bahagian apa, puan?" Ain memberanikan diri untuk bertanya. Kalau diberi pilihan rasanya bahagian bawah nampak lebih tenang dan mahal.
Staf lain pun tak kelihatan tapi kenapa hanya jejaka tadi diarahkan untuk menunggu di situ? Langkah Hawa terhenti dan pusing menghadap kedua-dua wanita itu.
"Bilik bawah tu bilik pengurus bahagian projek. Bersyukurlah sebab kamu berdua tak terpilih," ujar Hawa selamba. Terpinga-pinga Ain dan Dhia.
"Kalau tak ada apa-apa soalan, kamu berdua boleh duduk di sini. Meja yang hujung tu biarkan kosong. Kalau ada apa-apa masalah nak tanya boleh rujuk kepada Cik Aina. Dia PA kepada Muzamir," pesan Hawa sebelum berlalu pergi.
Ain dan Dhia duduk di kerusi masing-masing. Tersengih-sengih menayang kegembiraan. Bestnya dapat jadi sebahagian famili Renaissance.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co