Truyen3h.Co

VVIP Dihatiku

Bab 7

karyaseni2u

TANPA mengetuk pintu, Puan Izah membuka pintu bilik anak daranya.

"Ya Allah, Rin... Tak siap lagi ke?" soal Puan Izah sebaik saja melihat Rin masih bersantai di atas katilnya sambil menonton cerita pada komputer ribanya.

"Siap nak pergi mana?" soal Rin, pelik. Rasanya uminya tak cakap pun nak pergi mana-mana tadi.

"La, kan umi dah suruh siap-siap. Mak Cik Suri nak datang."

"Rin dah siaplah ni. Nanti Mak Cik Suri datang, Rin sarunglah tudung."

"Siap apanya macam tu? Dah, pergi tukar baju," suruh uminya.

"Umi, pakai T-shirt aje tak boleh ke?" soal Rin sambil menilik pakaiannya. Sekadar baju T lengan panjang bersama seluar berwarna kelabu.

Puan Izah menggeleng sambil menuju ke arah almari hitam milik Rin. Dibuka almari itu sebelum tutu dress berwarna peach diambil dan dihulur kepada Rin.

"Pakai yang ni."

"Hah? Tak naklah. Macam nak pergi majlis aje."

"Pakai ajelah. Dah, umi nak turun dulu. Pastikan tukar baju tu," suruh Puan Izah sebelum keluar dari bilik Rin. Dia ingin menuju ke dapur dan melihat persiapan di sana.

Rin mengeluh. Lambat-lambat dia bangun dari katil. Tutu dress yang diletakkan oleh uminya di atas katil diambil dan dimasukkan kembali ke dalam almarinya. Entah apa yang istimewanya hari ini dia pun tak tahu sehingga uminya bukan main beria-ia lagi. Padahal Mak Cik Suri itu bukannya kali pertama pun datang ke rumah mereka.

"NO! Ayah, umi. Jawapan Rin muktamad! Rin tak nak kahwin dengan Amir," kata Rin tegas selepas Mak Cik Suri bersama rombongannya pulang.

"Kenapa Rin tak nak kahwin dengan Amir? Amir tu baik apa?" soal ayahnya lembut.

"Amir tu playboylah ayah. Bekas-bekas makwe dia yang Rin kenal punyalah ramai. Itu tak termasuk yang Rin tak kenal lagi."

"Dia dah berubahlah. Itu semua kisah silam dia, tak perlulah nak diungkit. Lagipun ayah yakin Amir tu budak baik."

"Okey, fine. Amir tu baik. Tapi kalau ya pun dia baik, tak semestinya Rin kena kahwin dengan dia, kan? Rin muda lagi ayah, umi. Belajar pun tak habis lagi."

"Apa salahnya kalau kahwin masa belajar pun, kan? Ramai aje yang buat macam tu dan berjaya. Jadi umi yakin Rin pun boleh buat."

"Tapi Rin belum bersedia."

"Rin, bila Rin buat apa yang umi dengan ayah reda, Allah pun akan reda. Insya-Allah, Allah akan mudahkan."

"Tapi..."

"Rin dah ada orang lain ke?" soal ayahnya tiba-tiba.

Rin terdiam.

"Kalau Rin dah ada orang lain, bawa dia jumpa ayah dengan umi," sambung ayahnya apabila Rin tidak menjawab soalannya.

Rin mengetap bibir. Nak bawa jumpa ayah? Nak bawa siapa? Fiqri? Cintanya kepada lelaki itu hanya bertepuk sebelah tangan. Habis tu, Haikal? Hmmm... Dibuatnya tiba-tiba ayah dengan uminya berkenan pada Haikal dan suruh mereka berkahwin, macam mana? Dia nak bagi alasan apa?

"Rin tak ada siapa-siapa, kan? Jadi apa salahnya Rin terima Amir?" soal ayahnya.

"Ayah dan umi kan tahu Rin tak suka kena paksa. Masa depan Rin, biarlah Rin tentukan sendiri."

"Umi dengan ayah bukannya nak paksa Rin. Kami buat ni demi kebahagiaan Rin juga. Demi umi, Rin terimalah Amir," kata Puan Izah.

"Kenapa umi dengan ayah beria-ia nak suruh Rin kahwin dengan Amir ni? Dia dah mandremkan umi ayah ke apa ni?" soal Rin, tak puas hati.

"Rin, tak baik cakap macam tu!" marah ayahnya.

Rin tersedar keterlanjuran kata-katanya. Dia mengetap bibir.

"Ayah buat semua ni sebab Rin. Ayah nak Rin bahagia."

"Ayah, tak semestinya Rin kena kahwin dulu baru boleh bahagia. Dengan kehidupan Rin sekarang ni, Rin dah cukup bahagia."

Rin terdengar ayahnya mengeluh panjang.

"Sekarang ni ayah dengan umi masih ada lagi. Bila kami dah tak ada, Rin perlukan seseorang untuk jaga Rin. Dan ayah yakin orang tu ialah Amir."

"Ayah, kebahagiaan Rin bukan terletak pada Amir. Rin boleh jaga diri sendiri."

"Ayah tahu Rin boleh jaga diri sendiri. Tapi hati seorang ayah tak sanggup nak biarkan Rin sorang-sorang. Ayah tak minta banyak pun daripada Rin. Ayah nak Rin kahwin dengan Amir aje."

"Ayah..."

"Rin, dengarlah cakap kami. Kahwin dengan Amir," pinta uminya.

"Habis tu kalau Rin tiba-tiba kahwin dengan dia tapi kami tak bahagia, macam mana?"

Sekali lagi ayahnya mengeluh. "Rin belum cuba lagi macam mana Rin boleh cakap yang Rin tak bahagia?"

"Cuba? Perkahwinan tu satu cubaan ke?" soal Rin geram.

Melihat ayah dan uminya tidak menjawab, Rin pantas menyambung. "Ayah, umi, Rin faham yang ayah dengan umi nak kan yang terbaik untuk Rin tapi Rin harap ayah dengan umi pun faham yang Rin tak boleh terima Amir. Bagi Rin, perkahwinan bukan satu percubaan. Cuba ayah fikir, lepas Rin kahwin dengan Amir tapi kemudian kita orang tak bahagia dan bercerai. Tak ke nanti kita orang akan salahkan ayah dengan umi?"

"Tapi ayah dengan umi bukannya nak suruh Rin sekadar cuba tapi berusaha juga. Rin ingat boleh bahagia ke kalau Rin sendiri tak cuba untuk bahagia?" soal Puan Izah.

"Mi, Rin tak perlu mencuba sebab kehidupan Rin dah cukup bahagia sekarang ni."

"Kebahagiaan seorang anak adalah apabila dia bahagiakan ibu bapa dia. Rin pun tahu, keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa."

Rin mengetap bibir. Seketika kemudian, dia mengeluh.

"Ayah, umi, Rin tak tahu kenapa ayah dengan umi nak sangat Rin kahwin dengan Amir tu. Tapi keputusan Rin muktamad! Kalau betul-betul ayah dengan umi anggap Rin ni anak umi dengan ayah, tolong jangan paksa Rin." Sebaik sahaja kata-kata itu diucapkannya, Rin bangun dan terus meninggalkan ruang tamu itu.

"Rin!" Puan Izah bangun cuba mengejar anaknya tetapi Encik Aziz menghalang.

"Biarkan dia. Biar dia tenang dulu," kata Encik Aziz.

Bersama keluhan, Puan Izah akur. Dia melabuhkan kembali punggungnya ke sisi suaminya.

Di dalam bilik, Rin menangis. Kenapa beria-ia uminya memaksa dia berkahwin dengan lelaki yang dia langsung tidak suka? Kenapa umi langsung tak nak terima pandangannya? Dan ketika itu juga ketukan di pintu biliknya kedengaran namun, Rin tidak mengendahkannya.

"Rin, kak long ni. Bukalah pintu." Kedengaran suara kakak sulungnya di luar pintu. Pasti satu-satunya kakak yang dia ada sudah sampai di rumah mereka.

Lambat-lambat Rin bangun. Dengan matanya yang sembap, dia membuka pintu.

"Rin, kenapa ni?" soal Farah. Tubuh Rin dipeluk.

"Rin tak nak kahwin dengan Amir," tangis Rin.

Farah terdiam. Pelukan dilepaskan. Dia menarik adiknya ke katil dan dibiarkan adiknya itu bertenang.

"Rin tak nak kahwin dengan Amir?"

Mendengar soalan kak longnya, dengan laju Rin menggelengkan kepalanya.

"Kenapa? Amir tu dahlah handsome, engineer pula tu." Farah cuba bergurau.

"Kak long ingat dengan handsome, kaya, boleh jamin bahagia ke?" soal Rin.

"Memanglah semua tu tak jamin bahagia. Tapi restu ibu bapa menjamin reda Allah, kan?" kata Farah, lembut.

"Kak long pun nak suruh Rin terima Amir ke?"

"Tak. Tapi..."

"Dahlah, kak long. Rin tak tahu apa yang Amir dengan Mak Cik Suri dah buat dekat semua orang dalam rumah ni, sampai semua orang sibuk paksa Rin kahwin dengan Amir tapi, Rin nak semua orang tahu yang Rin takkan terima dia sampai bila-bila," kata Rin.

Dia bangun. Bagasi yang dibawa balik semalam diletakkan di atas katil. Dibuka almarinya lalu beberapa helai pakaiannya diambil dan dimasukkan ke dalam beg.

Riak wajah Farah mula berubah.

"Rin nak pergi mana ni?"

"Rin nak balik kolej."

"Tapi dah lewat ni. Tak nak tunggu esok ke?" soal Farah.

"Tak nak," kata Rin. Bagasi dizip kasar. Tudung segera disarungkan ke kepalanya dan dia pantas menarik keluar bagasi tersebut.

"Rin..." panggil Farah. Dia mengekori langkah adiknya.

Rin berhenti melangkah. Dia berpaling ke arah kakaknya.

"Selagi semua orang paksa Rin kahwin dengan Amir, selagi tu Rin takkan balik," kata Rin.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co