Bab 2
Anis berlari melintasi pekarangan halaman rumah. Langsung tidak ditoleh ke arah Shahlan yang sedang terbaring di atas pangkin di bawah pokok rambutan gading dengan tidak berbaju. Anis menanggalkan kasut sekolah dan terus menuju ke arah bilik.
"Hah! Dah gila, dah gila!" Anis terlentang di atas katil. Kipas angin yang berpusing itu tidak berjaya menyejukkan kehangatan hatinya. Segalanya masih segar dalam fikiran. Sesekali Anis menyentuh pipinya. Anis menekup mukanya dengan batal.
"Hoi! Baaa... nyak cantik muka kau. Balik sekolah terus terlentang atas katil aku! Bukan nak pergi mandi ke! Sudahlah busuk!"
Tiba-tiba muncul Suzie menamatkan segala ingatan Anis kepada Helmi.
Anis terus bangun dan membetulkan cadar serta menyusun semula bantal yang telah digunakannya tadi. Dia tidak membuang masa lagi. Tuala yang berada di tingkap dicapai dan terus melangkah menuju ke bilik mandi yang terletak di dapur. Wajah yang tadinya ceria tiba-tiba terus berubah muram. Anis terus membersihkan diri dan kembali semula ke bilik. Namun sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik, Anis terkejut besar apabila melihat hadiahnya dipegang oleh Suzie.
"Kak!" Anis terus merampas kotak hadiah itu dari tangan Suzie.
"Apa hal kau ni? Aku tengok pun tak boleh ke?" Suzie terkejut dengan tindakan Anis.
"Kak, kenapa kakak pegang benda ni? Kenapa kakak selongkar beg sekolah Anis? Ini bukan Anis punyalah!" Anis meninggikan sedikit nada suaranya. Terbakar hatinya dengan sikap kurang sopan kakak tirinya itu. Entah kenapa Suzie berperangai buruk begitu?
"Kalau bukan kau punya, kenapa beria-ia sangat kau marah aku? Aku bukan buka pun. Aku tengok aje. Huh!" Suzie terus melangkah keluar dari bilik. Menyampah dia melihat wajah Anis. Suzie pasti hadiah itu milik Anis. Dan dia pasti hadiah itu sangat istimewa. Aku akan bagi tahu mak nanti. Siaplah kau, Anis. Hati busuk Suzie sudah mula merencana.
Anis terus menutup pintu bilik dan mengunci dengan ketat. Itulah perkara yang ditakutinya. Itulah 'banduan' yang kerap bersengketa dengannya di dalam 'penjara' ini. Tanpa membuang masa, Anis menyarung T-shirt dan mengenakan track suit.
"Macam mana sekalipun aku kena sorok benda ni. Tapi dekat mana aku nak simpan ni? Dalam rumah ni sah-sah tak selamat." Anis menyikat rambut yang basah sambil memikirkan cara yang paling selamat untuk dia menyimpan hadiah itu. Akhirnya Anis mendapat satu idea. Dia segera mengeluarkan telefon bimbit dari kotak hadiah lalu disumbat ke dalam kocek seluarnya.
"Maafkan aku, Helmi. Aku dah cakap tak ada gunanya kau bagi aku telefon ni. Kita tetap tak dapat berhubung."
Anis melilau mencari Mak Cik Laila.
"Kak, mak cik mana kak?" Anis bertanya kepada Suzie yang turut melepak di bawah pokok rambutan.
"Manalah aku tahu!" jawab Suzie tanpa menoleh ke arah Anis yang sudah siap berbasikal.
"Erm... Kak! Nanti bagi tahu mak cik yang Anis keluar kejap pergi rumah Yanti, ya?" Tanpa menunggu jawapan balas daripada kakak tirinya, Anis terus mengayuh basikal meninggalkan Shahlan dan Suzie.
Shahlan hanya memerhati Anis yang telah jauh meninggalkan rumah. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Anis hari ini pada pandangannya.
"Eh, Abang Lan... Aku rasa Anis tu dapat hadiah. Tadi aku jumpa kotak hadiah di dalam beg dia. Tapi aku tak sempat nak buka. Apa kata kita tengok nak?" ajak Suzie. Sudah tidak sabar-sabar lagi dia mahu melihat apakah hadiah yang Anis dapat itu.
Shahlan memandang Suzie dengan jelingan tajam.
"Kau ni memang suka menyibuk hal orang, kan? Kenapa kau buka beg sekolah dia?" Shahlan bersuara serius. Rimas betul dengan perangai adiknya yang seorang itu. Harap umur saja tua tapi perangai macam budak sekolah rendah.
Suzie mengerutkan dahi. Tak pasal-pasal pula dia kena marah.
"Aku nak tengok kertas soalan dia hari ni. Bukan ke hari ni dia last exam?" Suzie sengaja memberi alasan.
"Hurm... Nak tengok kertas soalan konon. Kau ni pandai sangat ke? Dah! Tak payah kau nak tengok lagi. Aku rasa Anis dah buang pun kotak tu," ujar Shahlan sambil kembali berbaring.
"Dah buang?" Suzie pelik dengan kenyataan abangnya itu.
"Kau ingat Anis tu bodoh macam kau ke? Mestilah dia dah ambil isi tu. Argh! Tak payahlah kau menyibuk! Sekarang ni lebih baik kau pergi masuk ambilkan aku air. Aku dahaga gila ni. Pergi!"
"Huh! Nak minum ambillah sendiri! Aku pula yang kena! Sudahlah mengata aku bodoh!" Suzie merengus kasar lalu beredar dari pangkin itu. Dia yang masih terganggu dengan kotak misteri itu terus naik ke bilik dan menyelongkar barang-barang Anis. Hatinya belum puas selagi tidak tahu apakah isi di dalam kotak itu.
Sementara itu, Anis terus mengayuh basikal menuju ke arah rumah neneknya. Hanya itulah tempat yang paling selamat untuk menyimpan telefon bimbit itu. Hampir sejam mengayuh akhirnya dia tiba juga di depan rumah neneknya. Dia turun dari basikal lalu memberi salam.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Anis memandang ke arah suara yang menjawab salamnya. Alangkah leganya hati kerana orang yang dicari akhirnya muncul.
"Kakak apa khabar? Ayah sihat, kak?" Atirah bersalaman dengan Anis. Dari jauh dia sudah nampak kelibat seseorang mengayuh basikal menuju ke rumahnya. Rupa-rupanya Kakak Anisnya.
Atirah jarang dapat berjumpa Anis kerana tidak tinggal bersama. Kalau ada hal yang mahu dicakapkan, Atirah hanya bercakap di sekolah sahaja. Dia lebih suka tinggal bersama nenek di kampung lain. Bukan Atirah tidak tahu perangai mak cik dan adik-beradik tirinya yang dua orang itu. Tak tahan telinga mendengarnya. Berbeza pula dengan kakaknya ini. Kakak Anis lebih tabah dan tahan telinga.
"Atirah, kakak nak minta tolong Atirah ni. Tolong jaga benda ni tau. Jangan hidupkan pun. Simpan di tempat yang atuk dan nenek tak boleh jumpa." Terbeliak Atirah melihat telefon bimbit di atas tapak tangan kakaknya.
"Kakak, siapa punya ni?" Itulah soalan yang ada di dalam kepalanya saat ini. Tidak mungkin kakaknya dapat memiliki sesuatu seperti itu melainkan...
"Helmi bagi kakak. Dia cakap senang nak cakap dengan kakak kalau ada telefon. Lepas ni kan kakak dah susah nak jumpa dia. Tapi Atirah pun tahukan dekat rumah tu macam mana..." Anis menundukkan kepala menatap tanah yang kering merekah.
Atirah faham benar dengan kata-kata kakaknya itu. Sememangnya begitulah nasib kakaknya apabila memiliki sesuatu. Biarpun kakaknya yang mengumpul duit untuk membeli barang tersebut, pasti Suzie akan menuduh yang bukan-bukan. Akhirnya kakak juga yang akan undur diri.
"Baiklah, kak. Atirah boleh tolong kakak. Tapi macam mana kalau Helmi telefon dan nak cakap dengan kakak nanti?"
"Atirah tak payah hidupkan telefon tu. Nanti bila kakak dah bersedia nak ambil, kakak akan datang sini."
"Kalau kakak dah cakap macam tu, Atirah ikut aje."
Selesai menyerahkan hadiah yang sungguh bermakna dalam hidupnya itu kepada Atirah, Anis terus mengayuh basikal pulang ke rumah. Dia tahu hari sudah pun makin larut senja. Jika Suzie tidak menceritakan hal yang dipesan tadi kepada Mak Cik Laila, pasti teruk dia akan dimarah.
Anis tahu Suzie pasti akan mencari jalan untuk mengenakannya setiap masa. Mentang-mentanglah ayah selalu tiada di rumah, Suzie dan mak cik selalu membulinya. Biarpun Shahlan tidak banyak buat hal tetapi Anis tetap berhati-hati. Kadang-kadang timbul juga rasa curiga dengan pandangan Shahlan terhadapnya. Penganggur yang seorang itu memang tidak boleh dipercayai, Anis mendengus keras. Entah berapa lama lagi dia harus menghadap muka keluarga tirinya itu. Sudah tidak tahan lagi dengan sikap mereka.
Jika ada ayah legalah sedikit hatinya kerana mak cik dan Suzie tak akan buat hal. Tapi itu hanya kekal untuk dua tiga hari sahaja. Bila ayah tiada mulalah mereka tunjuk rupa sebenar. Mujurlah hanya dia yang terpaksa hadapi semua itu. Anis tidak sanggup melihat Atirah turut menjadi mangsa. Atirah punya masa depan yang lebih baik dalam pelajaran berbanding dirinya. Jadi dia lebih suka Atirah duduk di rumah nenek dan atuk. Boleh belajar dengan tenang.
Anis terus mengayuh basikal selaju yang mungkin. Takut juga dengan keadaan sekeliling yang sudah gelap. Lorong kebun pisang yang dilaluinya juga kelihatan seram. Kedengaran azan maghrib dilaungkan. Hati Anis bertambah takut. Macam-macam bayangan muncul di dalam kepalanya. Entah kenapa basikal yang tadinya ringan dan laju kini menjadi berat dan mula bergerak perlahan. Seperti ada sesuatu yang duduk di belakangnya. Anis tidak berani memandang dan terus mengayuh walaupun payah.
Namun kerana terlalu berusaha mengayuh, Anis tidak perasan kenderaan yang datang dari arah depan. Malah hon yang dibunyikan juga langsung tidak kedengaran.
Tiba-tiba terdengar satu suara yang menjerit datang dari arah belakangnya. Anis terus memandang ke belakang lantas membuatkan dia tidak dapat mengawal basikalnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co