Bab 10
Fateh merenung dengan mata yang terbelalak. Orang yang lalu-lalang juga turut berhenti dan memandang belakang keretanya. Bukannya mereka mahu menolong menanggalkan 'benda' itu. Sebaliknya ketawa terbahak-bahak pula. Kurang ajar! bisik hati Fateh.
"Kereta siapa tu?" soal salah seorang lelaki yang baru keluar dari pejabat pos.
"Entahlah," jawab Fateh perlahan. Namun dalam hati sudah berkali-kali dia menyumpah seranah orang yang telah bertanggungjawab melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap kereta kesayangannya. Fateh tidak berani mendekati kereta itu biarpun hatinya terasa sedih dan hiba tatkala dia terpaksa berpura-pura tidak mengaku bahawa kereta itu miliknya.
Mana mungkin dia yang segak bergaya, bermutu dan penuh keunggulan itu menaiki sebuah kereta yang penuh dengan najis binatang. Huh! Sungguh memalukan! Fateh menggigit bibir sambil memandang sekeliling. Dia menggeleng. Terlalu ramai orang yang lalu-lalang. Jadi dia tidak berkesempatan untuk menyelinap ke dalam kereta.
"Itu tahi lembu ke tahi kerbau?" soal seorang tua yang baru keluar dari pejabat pos. Dia berdiri di sebelah Fateh sambil memerhati belakang kereta.
"Huh? Tahi lembu?" Fateh terlopong luas. Kata-kata lelaki tua tadi begitu memeranjatkan.
"Yalah. Kalau dah hijau dan kasar macam tu! Pelik pula, ya. Macam mana boleh terpercik sampai ke atas bumbung? Kira hari ini dalam sejarah ni. Dahlah kereta warna putih. Sebab itulah pak cik tak minat kereta warna putih ni." Orang tua itu terus membebel sendiri.
Fateh yang sudah panas itu bertambah panas. Hatinya juga sudah semakin panas membakar. Menyesal pula dia meletakkan kereta seperti itu. Kalau tidak, mungkin orang tidak perasan sangat.
Hai... Malangnya aku hari ni. Fateh melangkah perlahan menuju ke sebuah restoran yang tidak jauh dari tempat letak keretanya. Hanya itu sahajalah yang boleh dilakukan. Untuk buat muka selamba masuk ke dalam kereta, dia tidak mungkin dapat lakukannya. Kulit mukanya itu terlalu nipis, senipis kulit bawang agaknya.
Ini atuk punya pasal! Kalau dia tak sibuk suruh aku bayar bil-bil tu di pejabat pos, tak adalah kereta aku teruk macam tu. Kesian Prosa aku. Fateh membebel dalam hati. Sampai sahaja di sebuah restoran, dia mengambil tempat paling luar. Fateh tidak mahu melepaskan pandangan terhadap Prosanya. Lagipun dia ingin menunggu kalau-kalau ada pencuci kereta yang berbasikal lalu dekat situ. Bolehlah dia minta bersihkan keretanya.
"Abang nak minum dan makan apa ya?" Datang seorang budak lelaki melayan Fateh.
Fateh memandang budak lelaki itu sambil berfikir.
"Orang cuci kereta ada tak?" Fateh langsung tidak menjawab soalan budak lelaki tadi malah disoal benda lain pula.
"Huh? Hahaha... Abang ni buat lawak ke apa?" Budak lelaki tadi menutup mulutnya sambil ketawa.
"Hesy! Kau ni! Aku tanya ada tak orang yang cuci kereta lalu dekat kawasan ni?" soal Fateh sekali lagi. Dia membetulkan salah faham budak lelaki itu.
"Ooo... Saya ingatkan abang nak makan orang cuci kereta... Hehehe. Tak adalah, bang. Mungkin lewat sikit kut," jawab budak lelaki itu sambil tersenyum-senyum.
Lewat sikit? Alah, habislah aku macam ni. Takkan nak tunggu? Fateh kecewa.
"Hurm... Tak apalah. Kau bagi aku Milo ais dengan mi goreng jelah." Fateh terpaksa akur. Nak tak nak dia kena juga tunggu. Fateh menjeling lagi Prosa kesayangannya. Tapi siapa pula yang baling tahi lembu tu ya? Tak mungkin terpercik macam pak cik tadi tu cakap. Jauh sangat kalau sampai dekat bumbung tu. Fateh cuba mengingati perjalanannya tadi. Pasti ada sesuatu yang terjadi.
"Huh! Budak-budak tadi tu kut? Eee... Kurang ajar punya budak! Dia baling tahi lembu dekat kereta aku? Tak guna punya budak kampung! Kalau aku jumpa kau, aku tonyoh mulut kau dengan tahi lembu!" Fateh berbisik keras. Dia pasti budak-budak perempuan yang terjatuh tadi itulah yang punya kerja.
"Abang, ni air dengan mi abang." Budak lelaki tadi muncul lagi dengan hidangan yang dipesan oleh Fateh.
"Kedai ni tutup pukul berapa?" soal Fateh sambil meneguk air Milo.
"Erm... Hari ni tutup pukul 10.00 malam. Kenapa bang?"
"Hurm... Aku nak duduk lama sikit dekat sini boleh tak?" soal Fateh. Sememangnya dia tidak tahu ke mana harus dituju.
"Huh? Abang kan pelanggan. Saya mana boleh halau abang," jawab budak lelaki itu.
"Siapa nama kau?" Fateh mula mesra.
"Mail, bang," jawab Mail ringkas.
"Hui... Dah besar kau, Mail?" Fateh memandang Mail atas bawah.
"Hah? Abang kenal saya ke?" Mail kehairanan. Setahunya inilah kali pertama abang yang ala-ala artis ini muncul di restoran bapanya.
"Apa tak kenal pula, kau bukan ke yang dua seringgit dua seringgit tu?" Wajah Fateh serius biarpun sebenarnya dia sedang bergurau.
"Apa? Hahaha... Pandai abang buat lawak. Tak adalah bang. Nama betul saya Mohd Zamani. Keluarga saya panggil saya dari kecil lagi nama Mail tu," terang Mail sambil tersenyum-senyum. Ingatkan abang segak di hadapannya ini sombong. Tapi langsung tidak.
"Ooo... Dah jadi penyanyi pula? Hurm... Terima kasihlah. Dah! Pergi buat kerja kau tu. Ayah kau dah letih agaknya." Fateh tersenyum mesra kepada Mail. Sekurang-kurangnya dia tidaklah bosan jika budak itu sering datang berbual dengannya.
Mail berlalu meninggalkan Fateh sendirian. Kadangkala apabila tiada pelanggan yang meminta pesanan, dia datang semula bersembang dengan Fateh.
Fateh merenung jam di pergelangan tangan. Sudah hampir lewat petang. Langsung dia tidak sedar sudah beberapa jam berlalu. Datuknya pula sudah dua kali menghubunginya bertanya dia di mana. Dah macam anak perempuan pula apabila datuknya asyik bercakap tentang risau. Bukannya dirinya ini budak bawah umur. Sudah 20-an pun masih nak risau?
"Hurm... Mail." Fateh memanggil Mail apabila melihat remaja itu tiada kerja yang hendak dibuat.
"Kenapa bang?"
"Kau tak rehat ke?" soal Fateh. Dia sendiri tidak pasti itu soalan yang betul atau tidak.
"Rehat? Kejap lagilah kut," jawab Mail.
"Kau rehat sekarang tak boleh ke?"
Berkerut dahi Mail, tidak faham dengan maksud Fateh. Sudahlah dari tadi ayahnya asyik bertanya kenapa Fateh belum lagi meninggalkan restoran mereka walaupun sudah membuat pembayaran. Hendak ditanya rasa tidak sopan pula. Dari riak wajah Fateh, Mail boleh rasa Fateh ada masalah.
"Hurm... Boleh kut."
"Aku nak minta tolong boleh tak?" Fateh sudah tidak mahu menunggu. Hanya Mail sahaja harapan terakhirnya.
"Minta tolong apa, bang?" Seperti yang dijangka.
"Kau tolong cuci kereta aku sekejap boleh?" Fateh serba salah. Dia tahu dia tidak patut menyuruh orang melakukan kerja itu, tetapi dia sudah tidak sanggup lagi menunggu.
"Cuci kereta?" Mail bukan main terkejut lagi.
"Maksud aku cuci bahagian belakang kereta tu aje. Bukan cuci betul-betul pun. Kau cuma buang kotoran kat belakang kereta tu aje. Bila dah hilang okeylah," terang Fateh.
"Huh? Tapi..." Mail ragu-ragu. Biarpun mencuci kereta itu bukanlah satu jenayah, tetapi dia rasa semacam.
"Alah, bukan aku suruh buat kerja free. Aku bayar kau 50 ringgit. Kau pergi ambil sebaldi air dengan kain. Lepas tu kau pergi tonyoh kotoran dekat belakang kereta aku sampai hilang. Itu aje." Fateh menolak-nolak belakang Mail.
Mail yang masih tidak faham apa-apa terus berlalu ke belakang restoran dan kembali semula dengan sebaldi air dan kain.
"Abang, mana kereta abang tu?" soal Mail.
"Tu, yang warna putih tu. Depan pejabat pos!" Fateh memuncungkan bibirnya ke arah kereta.
Mail memandang ke arah kereta yang ditunjukkan. Tanpa berlengah dia terus meluru ke belakang kereta. Kemudian Mail terus menyimbah air di belakang kereta dan mula mencuci. Langsung tiada reaksi dari wajahnya walaupun hairan dengan segala kekotoran itu. Bukan dia tidak peduli, tapi dia sendiri tidak kisah. Biasalah kalau kereta kotor. Memang setiap kereta yang ada di dunia ini memang tak ada pun yang bersih. Dia jamin seratus peratus. Selesai mencuci segala kekotoran, Mail kembali semula mendapatkan Fateh yang memerhatinya dari restoran.
Fateh terkejut melihat Mail mula menghampirinya.
Biar betul ni? Tak sampai sepuluh minit pun dia cuci. Dah siap ke? soal Fateh dalam hati. Fateh tidak percaya Mail boleh menghabiskan kerjanya dengan begitu pantas.
"Bang, dah siap!" Mail berdiri di hadapan Fateh sambil tersenyum.
"Huh? Biar betul kau ni? Dah hilang ke 'benda' tu?" Fateh masih ragu-ragu dengan hasil kerja Mail.
"Dah! Ala, bukan apa pun. Tahi kerbau je. Kena air cairlah," terang Mail selamba.
"Tahi kerbau kau cakap? Mana kau tahu?" Fateh hairan. Dia sendiri sukar hendak meneka 'benda' hijau yang terpercik di bahagian belakang keretanya itu. Masakan Mail boleh meneka dengan tepat. Pengembala kerbaukah dia?
"Ala... Saya kenallah. Bukan susah pun nak bezakan tahi lembu dengan tahi kerbau ni. Cuma..."
"Okeylah! Okeylah! Nah duit ni," pintas Fateh. Sekeping wang lima puluh ringgit dihulurkan ke tangan Mail seperti yang dijanjikan.
"Huh, terima kasih bang." Mail terkejut. Tidak sangka pula Fateh betul-betul memberinya upah. Dia pun sebenarnya tidak mengharapkan bayaran. Kasihan juga melihat Fateh yang sejak tengah hari menunggu pencuci hingga lewat petang begini. Nasib baiklah Fateh tidak sombong sebab itulah dia suka melayan.
"Kau sekolah lagi, kan? Guna duit tu baik-baik. Beli buku sekolah. Jangan beli yang bukan-bukan!" pesan Fateh. Wajahnya serius sambil berdiri tegak.
"Baik, bang. Saya akan ikut pesanan abang tu. Oh, ya. Kenapa kereta abang boleh jadi teruk macam tu?" soal Mail bersahaja.
"Sebab itulah kerbau tak boleh terbang! Inilah jadinya kalau boleh terbang. Habis berak atas Prosa aku!"
"Hah? Hahaha..." Mail tergelak besar mendengar kenyataan Fateh. Geli hati betul dengan gurauan bersahaja Fateh. Sudahlah buat lawak, muka tu pula serius je.
Selepas meninggalkan Mail, Fateh memandu kereta dengan laju dan tergesa-gesa. Namun ketika terpandang jam di pergelangan tangan, Fateh berhenti serta-merta di tepi jalan.
"Alamak! Dah senjalah. Alah, dah tak sempat aku nak jenguk-jenguk tempat tu. Eee... Ini semua budak-budak jahat tu punya pasal... Huh!" Fateh mendengus. Sudah lari semua rancangannya hari ini. Kalau dah senja begini, datuknya pasti melarang dia pergi ke kawasan tanah terbiar itu.
Biarpun Fateh agak kecewa namun dia tetap akur dengan larangan datuknya. Lagipun dia juga tidak berani. Fateh menggigit bibir sambil leka memandu. Sesekali dia tersenyum dan tergelak kecil apabila mengenang kembali kejadian yang menimpanya hari ini.
"Fateh, Fateh... Sanggup kau duduk dalam kedai makan tu sampai senja macam ni. Tak lojik betullah!" Fateh menggeleng-geleng kepalanya. Dia pasti jika datuknya tahu cerita ini, pasti datuknya akan bebel dengan teruk. Mana taknya, ada ke orang di dalam dunia ni seperti dia? Sanggup tak nak naik kereta kerana malu sahaja?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co