Bab 11
"Hah! Mana kau pergi?"
"Pergi mana lagi, cari Anislah. Kan mak yang suruh Lan cari Anis?" jawab Shahlan acuh tak acuh. Wajahnya masam mencuka.
"Ya ke? Takkan dari pagi sampai senja macam ni? Kau cakap betul-betul, Lan." Mak Cik Laila sengaja serkap jarang. Dari petang tadi dia menunggu Shahlan. Namun anak lelaki yang seorang itu tak juga muncul-muncul. Sudah tidak larat lagi dia nak menoleh kepalanya ke arah jalan raya. Asal sahaja dengar bunyi motosikal, dia kelam-kabut melihat ke arah jalan. Namun wajah yang ditunggu langsung tidak muncul.
"Eee... Betullah! Sejak Lan keluar tadi, Lan tak berhenti cari Anis. Kat kawasan balai polis pun Lan pergi. Tapi tak ada berita apa-apa pun. Budak-budak kat kampung yang sebaya dia pun tak nampak dia." Shahlan yang duduk bersandar di sofa menerangkan segalanya. Dia sudah penat hendak mencari Anis. Sudahlah langsung tidak menjamah makanan. Anis pula terus hilang tanpa berita. Entah di mana menyoroknya.
Mak Cik Laila memandang Shahlan yang keletihan. Hatinya ragu-ragu hendak mempercayai kata-kata Shahlan. Bukan dia tidak tahu Shahlan itu macam mana. Suka mengelat apabila disuruh buat sesuatu.
"Kau tak cari ke dekat kampung lain? Mana tahu dia pergi rumah kawan dia?" soal Mak Cik Laila lagi. Hatinya masih belum boleh tenteram dalam dua tiga hari ini selagi dia belum tahu di mana kedudukan Anis yang sebenarnya. Kebimbangannya makin menjadi-jadi tatkala teringatkan suami yang mungkin balik pada bila-bila masa sahaja. Jika sehingga hari itu Anis masih juga tidak muncul-muncul, dia sudah mempersiapkan diri. Tetapi jika tiba-tiba Anis muncul dengan suaminya? Siapa yang akan membantu dia menghadapi suaminya?
"Mak... Lan ni manalah kenal kawan-kawan Anis tu. Mak tak payah cakaplah kampung sebelah ke, tepi ke, tengah ke... Semua Lan dah ronda. Usahkan batang hidung, bayang dia pun Lan tak nampak," jawab Shahlan dengan penuh yakin.
Mak Cik Laila menjeling ke arah Shahlan. Entah boleh percaya atau tidak dengan Shahlan itu. Bagaimanapun dia harus pastikan sendiri. Esok dia harus bertemu dengan Atirah. Mungkin Anis ada datang berjumpa Atirah dan menceritakan hal yang telah terjadi. Tak mungkin Atirah tidak tahu apa-apa. Mak Cik Laila bangun lantas meninggalkan Shahlan sendiri di ruang tamu.
Suzie yang sedang menjamu selera mendongak melihat emaknya yang baru turun tangga.
"Macam mana mak? Dah balik ke anak lelaki mak tu?" soal Suzie sambil lewa. Dia sibuk menyuap nasi ke dalam mulut. Langsung tidak dipelawa emaknya makan bersama.
Mak Cik Laila menghampiri Suzie kemudian duduk di penjuru meja makan.
"Dah! Tu terlentang kat sofa. Letih konon. Entah betul ke tak dia cari Anis." Mak Cik Laila muncung sedepa. Akhirnya dia juga turut menjamu selera.
"Hurm... Orang dah agak dah. Dia tu mana boleh harap mak. Buat kerja sikit, tapi lepak je yang lebih. Orang macam dia tu mak suruh buat kerja?" Suzie sengaja mahu buat emaknya panas hati.
"Entahlah! Kau orang berdua ni sama aje. Dua-dua tak boleh harap!" jawab Mak Cik Laila dalam nada yang marah. Sememangnya dia sedang marah dengan anak-anaknya.
"Eh! Orang pula? Mak kalau tak puas hati dengan Shahlan tu, sudahlah. Tak payah nak sangkut paut dengan orang pula." Suzie meradang mendengar kata-kata emaknya. Terus pinggan yang masih berbaki nasi itu diangkat kemudian diletakkan ke dalam singki. Selesai mencuci tangan dan meneguk air, dia terus meninggalkan emaknya di hadapan meja makan.
"Kurang ajar punya anak!" luah Mak Cik Laila sambil menjeling tajam ke arah Suzie yang telah pun berjalan membelakanginya.
"Kenapa lambat sangat kamu balik ni, Fateh?" soal Kassim yang sedang membaca surat khabar di ruang tamu.
Fateh yang baru hendak berjalan terus ke biliknya segera berpatah semula menghampiri datuknya yang berwajah serius. Hai orang tua ni... Dah tua-tua pun tajam aje mata dia tu, omel Fateh dalam hati.
"Tak ke manalah, tuk. Jalan-jalan dalam pekan je. Esokkan Fateh dah nak balik KL."
"Hurm... Kamu dah sembahyang ke belum ni?" soal Kassim lagi. Namun matanya tetap tertumpu pada helaian surat khabar.
"Dah," jawab Fateh ringkas. Dia malas mahu jawab panjang-panjang. Bukan datuknya akan balas balik pun. Sebaliknya soalan lain pula yang akan muncul.
"Atuk nak ajak Fateh pergi rumah Pak Cik Khairuddin," ujar Kassim. Barulah kali ini dia memandang wajah Fateh.
Hurm... Pandang juga akhirnya. Tak gunalah Allah anugerahkan wajah aku kacak macam ni kalau bukan untuk ditatap oleh atuk. Hehe.... Fateh tersengih kecil.
"Kenapa Fateh?" Kassim yang perasan dengan perubahan wajah Fateh yang tiba-tiba itu segera menegur. Dia tahu Fateh sedang mengutuknya.
"Eh, tak ada apa-apalah tuk. Atuk cakap apa tadi? Pak Cik Khairuddin? Siapa tu?" Fateh mula fokus pada kata-kata datuknya.
"Alah, kamu tak kenal. Semalam kan kita bawa anak dia balik. Lepas tu basikal dia atuk terlupa pula nak hantar. Jomlah ikut atuk hantar basikal tu. Mana tahu budak tu nak guna pergi sekolah ke nanti," ujar Kassim.
"Hurm... Kalau macam tu jomlah."
"Kamu dah makan ke Fateh? Kalau belum baik makan dulu."
"Erm... Dah terlebih kenyang ni. Jomlah tuk. Nanti lewat pula. Lagipun malam ni Fateh nak tidur awallah. Takut esok penat pula nak drive balik KL." Fateh sengaja mencari alasan. Sebenarnya dia takut kalau-kalau datuknya akan mengajak dia pergi ke tempat lain selepas itu. Lebih baik dia bagi tahu awal-awal rancangannya.
"Huh! Macamlah jauh sangat KL tu. Tak sampai dua jam pun." Kassim mencebik. Dia tahu Fateh memang tak suka keluar dengannya. Fateh itu masih muda. Mana mahu berkepit dengan dia ke sana sini. Lagipun dia ketua kampung. Lagilah budak itu tidak mahu.
Kassim berjalan mendahului Fateh. Cucunya itu hanya diam membukam. Rasa kasihan pula melihat perwatakan Fateh sebegitu. Bukan dia mahu bertegas dengan Fateh, tapi dia sendiri tidak tahu macam mana mahu berlembut. Memang sejak dulu lagi begitulah sikapnya. Dengan cucu lain pun dia layan sama juga. Tak ada pun yang pernah merungut. Tetapi yang seorang ini lain pula. Apa sahaja yang dicakap ada saja jawabnya.
"Kenapalah atuk susahkan diri nak hantar basikal tu? Biarlah budak tu ambil sendiri. Dah tahu nak guna tu pandai-pandailah," bebel Fateh.
"Eh... Eh... Ada ke macam tu pula? Dah atuk yang bawa balik rumah, mestilah atuk yang kena pulangkan. Lagipun atuk nak tahu juga macam mana keadaan budak tu. Sakit ke?" Kassim mengerutkan dahi. Fateh ni memang suka ambil mudah saja.
"Hai... Jatuh basikal bukan teruk pun. Tak ada luka kan semalam? Takkan boleh sakit teruk pula?" jawab Fateh lagi. Sengaja mahu menyakitkan hati datuknya. Dalam hati dia tersenyum-senyum melihat wajah datuk yang masam.
"Kamu mana tahu! Dia memanglah tak luka, tapi muka dia pucat teruk. Terkejut agaknya tu. Kalau orang yang lemah semangat boleh demam tau," ujar Kassim lagi.
"Tak mungkinlah. Bukan jumpa hantu pun!" Fateh menangkis lagi. Dia memang mahu datuknya kalah.
"Apa pula tak jumpa hantu? Kamu ni bukan hantu ke?" Kali ini peluang Kassim pula mahu menyakitkan hati Fateh. Biar budak mentah itu tahu penangannya.
Fateh menelan air liur. Matanya membulat besar. Sampai hati datuknya gelar dia hantu. Teruk betul! bisiknya.
"Mana ada hantu handsome macam Fateh ni, tuk oi... Hantu tua macam atuk adalah kut. Hahaha..." Fateh ketawa berdekah-dekah. Seronok dia mengenakan datuknya.
Kassim di sebelah menjeling tajam. Kurang asam punya budak!
"Kamu tu handsome sebab daripada baka atuk kamu ni." Kassim tidak mahu mengalah.
"Hei.... Yalah tu. Semua orang cakap Fateh handsome sebab ikut mamalah. Papa mana handsome sangat. Gemuk macam atuk adalah.. Hahaha...." Fateh terus ketawa.
"Sudahlah, tak boleh nak menang lawan dengan kamu ni. Tu kat depan, rumah cat warna putih tu." Kassim sudah hilang idea hendak berbalas cakap dengan Fateh. Mulutnya muncung menunjukkan arah rumah Khairuddin.
Fateh tersengih-sengih sambil membelokkan kereta ke arah halaman rumah yang dituju.
"Wau! Luasnya halaman rumah ni tuk," ujar Fateh. Terpegun melihat keluasan halaman rumah tersebut. Langsung tiada pagar di sekeliling rumah.
Kassim tidak mengendahkan pujian Fateh. Tanpa berlengah dia terus menghampiri tangga rumah dan memberi salam beberapa kali sebelum datang seorang wanita membuka pintu dan menjawab salamnya.
"Eh? Pak cik... Masuklah." Mak Cik Laila terperanjat besar apabila melihat ketua kampung berkunjung ke rumahnya. Bagai mahu luruh jantungnya. Mungkin Anis telah memberitahu hal yang sebenarnya kepada ketua kampung. Dalam hatinya dia sudah menyerah.
"Tak apalah. Pak cik datang ni nak hantar basikal anak kamu yang tertinggal dekat rumah pak cik semalam. Lupa pula semalam nak bawa sekali," terang Kassim sambil matanya liar melihat sekeliling rumah.
Fateh melangkah keluar dari kereta. Tidak sopan pula duduk terperuk di dalam kereta dan tidak bertegur sapa dengan orang kampung. Nanti apa pula orang cakap? Yang dapat malu pasti datuknya juga.
Mak Cik Laila cuba bertenang. Dia masih menunggu kata-kata yang akan keluar dari mulut ketua kampung. Selagi ketua kampung tidak bercakap apa-apa, dia selamat. Sempat lagi dia memandang pemuda yang berdiri di sebelah kereta. Kacaknya budak itu, pujinya dalam hati.
"Assalamualaikum, mak cik," ucap Fateh dalam nada yang penuh sopan. Dia tersenyum manis apabila Mak Cik Laila memandang ke arahnya.
"Waalaikumussalam. Ini siapa, pak cik?"
"Oh... Ini cucu pak cik. Anak Kamal. Anak kamu yang pak cik hantar semalam tu sihat ke? Dia tak apa-apa, kan?" soal Kassim. Sejak dia terpandang basikal yang dibawa pulang semalam, perasaan ingin tahu tentang keadaan budak perempuan itu makin meninggi.
"Sihat aje. Tak ada apa-apa pun. Susahkan pak cik aje bawa balik basikal tu. Bila-bila pun saya boleh suruh anak saya pergi ambil," jawab Mak Cik Laila. Pertuturannya kali ini lebih lancar. Sahlah Tok Ketua Kassim tidak tahu apa-apa. Kali ini dia pasti Anis sudah melarikan diri jauh dari kampung.
"Pak cik bukan apa, risau kalau-kalau budak tu nak guna pergi sekolah nanti."
"Anak saya tu dah habis sekolah pun. Baru lepas SPM. Yang sekolah tinggal kakak dia aje. Yang tingkatan enam tu," ujar Mak Cik Laila. Matanya tidak putus-putus memandang ke arah cucu ketua kampung yang hanya berdiam diri di sisi kereta.
"Hurm... Kalau macam tu pak cik balik dululah. Nanti kalau suami kamu balik kirim salam dekat dia." Kassim mengarahkan Fateh mengeluarkan basikal dari dalam bonet kereta.
Fateh mengikut arahan datuknya. Basikal tersebut diangkat kemudian diletakkan di bawah rumah. Kemudian dia kembali ke dalam kereta semula.
Mak Cik Laila hanya memerhati sehingga kereta yang dinaiki oleh ketua kampung dan cucunya hilang di telan kegelapan malam.
Suzie yang dari tadi asyik mengintai dari dalam rumah tiba-tiba berlari mendapatkan emaknya yang masih duduk di tangga rumah.
"Mak, siapa yang handsome sangat tu mak?"
"Cucu tok ketua," jawab Mak Cik Laila pendek.
"Eee... Kacak-kacak cucu ketua kampung tu, kan mak? Dulu ada seorang, orang nampak dia dengan tok ketua. Yang itupun handsome juga. Tapi yang ni lagi handsome. Muda pula tu. Beruntung kalau orang dapat kahwin dengan dia, kan mak?" ujar Suzie tanpa segan silu.
"Gatallah kau ni! Kau ingat orang macam cucu tok ketua tu nak ke dengan kau? Dia tu anak orang kaya kau tahu. Bapa dia tu orang berpengaruh!"
"Pangkat datuk ke anak ketua kampung tu?" soal Suzie. Teringin pula dia hendak tahu salasilah pemuda kacak itu tadi. Entah nama apa pun dia tak tahu.
"Yang tu mak tak pastilah. Tapi yang mak ingat, kalau Si Kamal tu, dia ada dua orang isteri. Yang tadi tu anak isteri yang mana mak tahulah," terang Mak Cik Laila serba ringkas.
"Tak kesahlah mak dia yang mana satu. Bukan nak kahwin dengan mak dia pun. Hai... Tak boleh tidur malamlah kalau nampak orang kacak macam tu, mak." Suzie memejamkan matanya. Dia cuba mengingat kembali seraut wajah yang baru dilihatnya tadi. Beruntunglah siapa yang dapat lelaki itu, ujarnya dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co