Bab 8
Atirah menggenggam kuat telefon bimbit milik Anis. Nafasnya naik turun. Peluh memercik di dahi.
"Minta maaf, kakak. Atirah tak boleh bagi kakak telefon ni," luah Atirah sendiri.
Sejak semalam hatinya tidak tenteram. Beberapa mesej yang dihantar oleh Helmi untuk kakaknya itu buat dia tidak senang duduk. Dia sudah mengagak Anis pasti akan datang hari ini untuk mengambil telefon bimbit itu. Namun apa boleh buat, dia sama sekali tidak akan menyerahkan semula. Dan sebab itulah dia berusaha buat tidak endah apabila Anis asyik meminta telefon bimbit itu tadi.
Memang dia rasa bersalah terhadap Anis namun dia juga tidak mahu membiarkan resah dalam hatinya itu bertambah teruk. Atirah membaca semula mesej-mesej Helmi untuk Anis.
Saya rindukan awak...
Kenapa diam aje?
Tak tahu nak balas ke? Atau dah tidur?
Cepatlah sayang... Balas mesej saya ni...
Meremang bulu romanya tatkala membaca setiap mesej cinta Helmi untuk Anis. Pernah juga beberapa kali Helmi menghubungi namun Atirah tidak pernah mengangkat. Bimbang juga jika Helmi boleh cam suaranya.
"Hai... Sayangnya Abang Helmi pada kakak. Ah! Betul ke dia sayangkan kakak? Dia orang tu budak lagi. Tak mungkin boleh setia! Tambah pula Abang Helmi tu kacak. Dia nak ke setia pada kakak aku tu? Kakak pula macam mana? Tak mungkinlah dia orang tu boleh kekal." Atirah menggeleng perlahan.
Sebenarnya dia tahu hubungan Anis dengan Helmi masih baru. Dia pernah terlihat Helmi dan kakaknya makan bersama di kantin sekolah. Bukan dia saja yang perasan, malah mana-mana pelajar perempuan yang tergilakan Helmi pasti akan perasan. Maka ramailah yang cemburukan Anis. Di dalam kelasnya saja ramai pelajar perempuan yang tidak puas hati. Tak kira lagi pelajar dari tingkatan lain. Pelajar tingkatan satu pun ada juga yang minat dengan Helmi.
Namun lelaki kacak idaman ramai itu jatuh hati pula kepada Anis. Dia sendiri tidak pasti apa yang membuatkan Helmi boleh tertarik dengan Anis. Padanya rupa paras kakaknya itu biasa-biasa sahaja. Ramai lagi pelajar perempuan yang cantik dan comel di sekolah. Mungkin juga ada sesuatu yang ada pada kakak yang membuatkan hati lelaki itu tertarik.
"Tapi macam mana kalau kakak datang lagi esok? Apa aku nak cakap? Dia mesti marah sebab aku tak serahkan barang dia. Hesy! Macam mana ni?" Atirah betul-betul tidak sedap duduk. Dia berharap sangat yang Anis tidak akan berani datang lagi ke rumah itu. Mana tidaknya, tadi nenek sudah 'sembur' macam-macam. Dia yang hanya mendengar dari dapur juga turut tidak tahan dengan leteran nenek, inikan pula kakak yang jarang sekali berjumpa nenek. Atirah menyimpan semula telefon bimbit ke dalam laci apabila terdengar seperti namanya dipanggil.
"Minta maaflah, kakak. Seribu kali kakak datang minta pun Atirah tak akan bagi!" Atirah nekad. Dia cuba untuk mengosongkan fikirannya daripada mengingati Anis lalu terus meninggalkan bilik.
"Aduh! Sakitnya tulang punggung aku ni, Yanti." Anis terduduk di tepi tebing tali air sambil melihat Yanti membersihkan selut yang melekat pada pakaiannya.
"Bodoh punya orang! Dah tahu jalan ni sempit main lalu aje! Tak nampak ke kita kat dekat depan?" Yanti membebel lagi. Sejak tadi lagi dia asyik mengulang ayat itu.
Anis yang mendengarnya pun sudah tidak tahu nak beri jawapan apa.
"Aku rasa lebih baik kita pergi basuh dekat anak sungai sana tu. Kat sini panaslah, Yanti. Lagipun air ni makin keruh bila kau kocak. Bila nak bersih baju kau tu kalau kau guna air berlumpur?"
"Eee... Aku malulah nak jalan sampai sungai tu. Nanti orang lalu-lalang nampaklah. Mesti dia orang ejek." Yanti tidak bersetuju dengan cadangan Anis. Dia tidak kesah air berlumpur atau apa. Yang pasti air mukanya tidak jatuh. Sekarang ini pipinya sudah tebal berinci-inci.
"Alah... Apa nak malu pula? Biasalah kalau jatuh motosikal. Bukan kau sorang aje yang pernah jatuh. Tu, pelumba motosikal yang comel-comel tu pun pernah jatuh juga tahu!" pujuk Anis. Dalam waktu begini pun Yanti sibuk mahu jaga air muka.
"Pelumba comel yang mana ni? Orang Malaysia ke?" Yanti tertarik dengan kenyataan Anis sebentar tadi. Tertanya-tanya siapa pula yang dimaksudkan pelumba yang comel itu.
"Alah, yang namanya Fahmi tu. Aku tak ingatlah nama penuh dia tapi yang pasti nama dia Fahmi!" terang Anis lagi.
"Oh... Zulfahmi pakwe aku yang comel tu? Kenapa tak cakap awal-awal?" Yanti dengan wajah serius terus menyambung mencuci bajunya dengan menggunakan air yang sudah keruh.
Anis yang mendengar kata-kata Yanti terlopong dan mahu ketawa. Perasan bukan main lagi! Dalam keadaan macam ini pun masih nak buat lawak. Agaknya sudah hilang marahnya pada pemandu kereta tadi. Anis ketawa kecil sambil menggeleng. Dia yang masih belum membersihkan diri segera bangun dan berdiri.
"Dahlah tu, jom kita pergi sungai tu. Kau tak panas ke? Aku tak tahan panaslah, Yanti. Nanti aku pening. Jomlah!" Anis tetap berusaha mengajak Yanti pergi ke anak sungai yang terletak tidak jauh dari tempat mereka jatuh tadi.
Yanti memandang sekeliling. Mujurlah waktu ini tidak ada orang yang lalu-lalang. Kemudian dia memanjat tebing sambil dibantu oleh Anis. Mereka berdua sama-sama mengangkat motosikal yang tersadai di tepi jalan. Mujurlah motosikal itu tidak ikut terjun ke dalam tali air. Kalau tidak sudah kecoh satu kampung.
"Kau kenal tak dengan budak bongok yang bawa kereta tadi tu, Anis?" soal Yanti.
Anis mengerutkan dahinya. Sangkanya Yanti telah lupa tentang pemandu kereta putih itu tadi, rupa-rupanya masih kuat ingatannya.
"Kau ni sedap mulut aje cakap orang bongok. Buatnya yang pandu kereta tu orang tua, mak cik-mak cik ke?" Anis cuba menyedarkan Yanti yang sudah terlajak cakap.
"Hui... Kalau yang bawa tadi tu orang tua atau mak cik-mak cik lagilah bongok tahap tinggi!" luah Yanti dalam nada sedikit keras.
"Hesy, kau ni. Tak baik cakap macam itulah!" tegur Anis lagi.
"Tak baik apa pula? Kalau yang bawa tu orang tua lagi aku radang. Dah sah-sah orang tua tinggal lagi lama dalam kampung ni. Habis tu? Tak tahu lagi selok-belok jalan dekat sini? Macam mana boleh bawa kereta macam tu? Tak nampak ke kita di depan? Ni yang pergi sondol juga tu kenapa? Jalan tu sempit, biarlah kita pergi dulu. Ini tak!" Yanti meluahkan semua kemarahannya yang dipendam sejak tadi.
Anis betul-betul terkejut. Namun ada betul juga kata-kata Yanti itu. Jalan tadi memang sempit, tetapi orang yang pandu kereta itu tadi langsung tidak hormat mereka yang berada di depan. Sudahlah tidak membantu.
Anis dan Yanti akhirnya sampai juga di tepi anak sungai yang berada di tepi jalan. Angin tengah hari yang berpuput menyapa kedua-dua wajah remaja yang sudah bersalut selut dan lumpur.
"Yanti, biar aku bersihkan baju aku dulu, ya? Kau tolong tengok-tengokkan orang lalu-lalang. Takut pula kalau aku terselak kain!" arah Anis sambil meluru ke dalam air sungai yang jernih dan cetek. Terasa kaku kakinya tatkala air sungai yang sejuk itu menyentuh betisnya yang putih. Tanpa membuang masa Anis terus mencuci tapak tangannya.
"Eh, apa ni?" Anis pelik melihat tapak tangannya yang berwarna kehijauan. Dia cuba merapatkan kedua-dua tapak tangan ke hidungnya. Dan kala itu, tersedutlah satu aroma pelik lagi ganjil ke lubang hidungnya.
"Kenapa?" soal Yanti yang kehairanan.
"Argh! Busuknya! Yanti!" Wajah Anis terus bertukar. Tidak tahu apakah ekspresi wajah yang patut dilakukan. Lucu? Sedih? Marah? Atau semuanya sekali.
Yanti yang hanya memerhati cuba mentafsir apa yang tidak kena dengan tapak tangan Anis.
"Kenapa dengan tangan kau tu?" soal Yanti lagi.
Anis memandang wajah Yanti yang berkerut-kerut. Kini dia sudah ingat kenapa tapak tangannya itu berwarna kehijauan. Lalu...
"Argh... Hahaha..." Anis ketawa tidak henti-henti. Malah dia juga turut terduduk di dalam air sambil menepuk-nepuk air sungai yang cetek. Ketawanya menjadi-jadi apabila dia menunjukkan tapak tangannya kepada Yanti yang turut tersengih-sengih tidak faham. Setelah puas melepaskan gelak tawa, akhirnya Anis bersedia menceritakan hal yang sebenar.
"Aku terpegang tahi kerbaulah!" laung Anis lalu terus ketawa lagi.
Yanti yang baru tahu juga turut ketawa hingga kejang perutnya. Dia terduduk di atas tanah sambil menenyeh air mata yang keluar hasil daripada gelak yang melampau.
"Macam mana kau boleh terpegang tahi kerbau tu, Anis?"
"Aku tak sedar pun! Tapi yang pasti ada orang yang akan mengamuk teruk nanti!" luah Anis. Dia masih ketawa kecil sambil membersihkan baju kurung yang telah basah lencun.
Dan ketika itu sebuah kereta berwarna merah terang melintas di tepi Yanti. Yanti tergamam apabila terpandang wajah yang amat dikenalinya berada di dalam kereta tersebut.
"Anis, cepat naik sini!" jerit Yanti sambil menggamit tangannya ke arah Anis.
Anis yang pelik cepat-cepat berlari mendapatkan Yanti.
"Kenapa?"
"Tu..." Yanti menuding jari pada kereta merah terang yang sudah jauh berlalu.
"Kenapa dengan kereta tu?" Anis semakin pelik.
"Helmi. Aku nampak Helmi dalam kereta tu," luah Yanti dalam nada lemah.
Anis tidak dapat bersuara. Dia hanya mampu memandang sayu belakang kereta yang semakin jauh dan menghilang. Biarpun hatinya terasa sebak dan bagai ingin mengalir air mata di pipi, namun dia cuba bertahan. Malu pula apabila Yanti melihat keadaan dirinya yang sebegitu. Anis menghembus nafas dan kembali semula ke dalam sungai.
Yanti juga hanya terdiam sambil turut turun ke dalam sungai.
Anis menyapu wajahnya yang terasa panas. Wajahnya yang merah itu ditekup sekuat hatinya. Terenjut-enjut bahu Anis saat menahan tangisan itu. Biarpun dia bersusah payah mengawal perasaan, namun dia sudah tidak berdaya lagi. Tangisnya itu bukan semata-mata kerana Helmi yang sudah jauh pergi, namun nasib yang ditanggungnya sekarang ini. Usai membersihkan setiap kotoran di bajunya, Anis kembali semula ke tepi motosikal dan melihat-lihat keadaan motosikal datuk Yanti. Ada beberapa ketul tanah yang melekat di badan motosikal. Lalu Anis terus membuang dan membersihkan hingga tidak ada seketul pun tanah.
"Yanti boleh tak kita duduk sekejap dekat sini? Aku nak biar baju aku kering dulu. Risau pula nanti nenek kau nampak baju aku basah lencun macam ni."
"Hurm... Aku ikut kau aje." Yanti bersetuju sahaja dengan cadangan Anis itu. Biarpun sudah lewat namun dia tidak sampai hati melihat Anis. Yanti berdiri di sebelah motosikal datuknya sambil memandang sekeliling. Lalu dia terpandang seseorang yang amat dikenalinya datang menghampiri mereka dengan motosikal.
"Adik, tumpang tanya boleh?" soal lelaki yang tidak bertopi keledar dalam nada resah.
Yanti tidak menjawab. Namun hatinya berdebar kuat.
"Kenal Anis tak? Anissa, Anissa?" ulang lelaki yang berseluar pendek dalam keadaan tergesa-gesa.
Mendengar sahaja nama itu disebut, Yanti bertambah gemuruh. Dia tidak menoleh ke arah Anis yang duduk menghadap sungai di belakangnya. Dia berharap sangat lelaki itu tidak perasan.
"Tak kenallah bang," jawab Yanti tanpa tergagap. Biarpun suaranya bergetar, namun wajahnya tetap tenang.
"Ya ke? Hurm... Tak apalah."
Yanti meleparkan senyum terpaksa ke arah lelaki tersebut. Sebaik sahaja lelaki itu sudah jauh dan tidak kelihatan, barulah dia menoleh ke arah Anis.
Anis cepat-cepat bangun dan menghampiri Yanti.
"Cepat Yanti! Jom kita balik. Shahlan dah cari aku tu. Mati aku kalau dia jumpa aku."
"Haah... Jom, jom!" Yanti segera menghidupkan enjin motosikalnya. Mereka berdua terus bergegas pulang ke rumah. Biarpun baju Anis masih basah namun dia tidak ada masa lagi hendak berlengah-lengah di situ. Sebaik sahaja mendengar namanya disebut, dia pasti lelaki itu ialah Shahlan. Mungkin Mak Cik Laila dan Suzie sudah mengarahkan Shahlan mencarinya. Berdegup kencang jantungnya tadi. Sangkanya Shahlan akan perasan akan dirinya. Tetapi mujurlah cadangan Yanti telah menyelamatkannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co