Bab 12
"Yanti, terima kasih sebab bawa aku ikut kau datang sini." Perlahan suara Anis. Dia memerhati kerlipan lampu pada setiap bangunan. Di hadapannya kini tersergam sebuah bandar yang penuh dengan bangunan pencakar langit. Pada mulanya dia tidak berani untuk melihat dari atas kondominium mewah itu. Tetapi setelah ditenangkan Yanti, barulah dia berani juga memijakkan kaki ke balkoni.
"Alah, tak payah nak berterima kasih. Aku suka kau ikut aku. Tak adalah aku sunyi kat sini sorang-sorang." Yanti menepuk bahu Anis sambil tersenyum.
Sudah hampir seminggu dia membawa Anis tinggal bersama keluarganya di bandar metropolitan ini. Sudah banyak tempat yang mereka lawati bersama ahli keluarganya. Mujurlah abah dan umi tidak kesah.
"Yanti!"
Anis dan Yanti menoleh ke arah suara yang memanggil. Yanti segera mendapatkan umi yang memanggil dari dalam bilik.
"Anis, kau tunggu kejap, ya?"
Anis mengangguk. Dia berpaling kembali melihat suasana malam. Tiba-tiba wajahnya terasa panas dan air mata mula berlinang.
"Ayah... Anis minta maaf. Anis tak ada pilihan, ayah. Nanti bila Anis dah ada kerja, Anis akan balik kampung," bisik Anis perlahan. Dia melangkah perlahan-lahan menuju ke bilik. Namun langkahnya tiba-tiba terhenti tatkala terdengar sesuatu dari dalam bilik umi Yanti. Biarpun dia tahu mencuri dengar perbualan orang itu sikap yang tidak baik, namun dia tidak boleh melepaskannya apabila terdengar namanya disebut-sebut. Anis tergamam dan terus berjalan ke bilik setelah begitu pasti dengan apa yang didengarinya.
Di dalam bilik Anis duduk termenung. Dia tenang menunggu Yanti namun dalam fikirannya dia sibuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang akan datang nanti. Sememangnya dia langsung tidak terfikir semuanya sebelum ini. Di dalam kepalanya hanya mahu lari jauh dari keluarga tirinya sahaja. Tetapi setakat ini dia langsung tiada perancangan untuk diri sendiri. Anis mengeluh perlahan. Memang inilah sifat remaja. Tak pernah fikir panjang sebelum buat keputusan.
Betul juga umi Yanti cakap tadi, bisik Anis dalam hati.
Tiba-tiba Yanti muncul dengan wajah yang muram. Dia duduk di sebelah Anis sambil mencapai tapak tangan Anis.
"Aku minta maaf, Anis. Aku cuma nak kau bebas dari keluarga tiri kau tu aje. Aku nak kau rasa gembira," luah Yanti dalam nada sedih. Matanya mula merah.
"Tak apalah, Yanti. Aku boleh balik kampung," jawab Anis lemah.
Yanti tergamam. Mungkinkah Anis telah mendengar perbualannya dengan umi tadi?
"Kau dengar ke apa umi aku cakap tadi?" Yanti memandang tepat ke wajah Anis. Tiba-tiba dia terpandang tahi lalat kecil di sebelah kiri pipi Anis. Manis!
Anis tersenyum memandang Yanti.
"Kau jangan salah faham dengan kata-kata umi aku, ya. Dia bukan nak suruh kau balik kampung. Dia cuma risaukan kau. Sebab lepas ni dia suruh aku ambil lesen dan ambil kursus bahasa. Jadi dia risau kau bosan duduk seorang diri di rumah.
"Tak adalah, Yanti. Aku dah berterima kasih banyak-banyak sebab parents kau sudi tumpangkan aku dekat rumah dia orang ni. Dia orang dah bawa aku jalan-jalan pun. Aku bersyukur sangat!"
Yanti terdiam. Dia tahu perasaan Anis ketika ini. Mana mungkin Anis mahu pulang ke kampung. Sudahlah tidak bagi tahu ayah dan emak tirinya hendak datang ke KL. Kalau Anis pulang pasti teruk kena marah. Yanti mengeluh beberapa kali. Dia melabuhkan kepalanya di atas bantal sambil sibuk mencari jalan keluar. Tidak sesekali dia akan membiarkan Anis dibuli oleh keluarga tirinya itu. Alang-alang dia sudah membawa Anis bersamanya, dia harus mengekalkan keadaan itu. Paling tidak mesti ada sesuatu yang boleh dilakukan untuk teman rapatnya itu. Ah, baru aku ingat!
"Anis, kau nak kerja tak?" Yanti bertanya tiba-tiba.
Anis yang turut berbaring segera bangun.
"Kerja? Boleh juga tu!" jawab Anis bersemangat.
"Aku baru ingat. Kakak sepupu aku ada tanya aku kalau-kalau aku nak kerja di tempat kerja dia. Tapi umi aku tak bagi," terang Yanti. Dia pasti kakak sepupunya boleh membantu Anis.
"Kakak sepupu kau kerja apa? Kita kan baru habis SPM. Boleh ke kerja?" Anis hairan. Sebenarnya dia langsung tidak tahu peraturan untuk bekerja. Apatah lagi di bandar besar ini. Yang Anis tahu hanya orang yang layak dan berpendidikan tinggi sahaja boleh bekerja di bandar besar ini. Seumur hidupnya dia langsung tidak pernah ke bandar besar. Pekan di kampung pun dia jarang-jarang dapat pergi. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki di bandar besar begitu.
"Kerja pasar raya. Kakak sepupu aku cakap cuti sekolah macam ini banyaklah budak sekolah yang kerja dekat situ. Esok aku tanya dia."
"Bolehlah tu. Aku tak kesah kerja apa pun. Janji halal," ujar Anis dengan wajah yang ceria. Ingatannya segera melayang mengingati Helmi. Entah apa yang lelaki itu sedang lakukan. Kalau boleh dia ingin menjerit memanggil nama Helmi pada saat ini. Teringat kembali pada hadiah yang diberikan Helmi.
Mungkin tak ada rezeki aku. Tak apa. Kalau aku dapat kerja, aku akan tebus balik benda tu. Anis menanam azam. Bukan dia tidak akan berjumpa Helmi lagi selepas ini.
"Hei! Kau teringat dekat Helmi ke?" tegur Yanti dengan tiba-tiba. Dari tadi dia perasan air muka Anis yang tiba-tiba suram.
"Hurm... Aku teringat dekat dia. Dia kan ada dekat KL juga sekarang ni. Entah apa yang dia buat sekarang, ya?"
"Yalah. Mana kita nak cari dia, hah? Kalau dia bagi tahu dekat mana rumah dia, boleh juga kita pergi melawat dia. Eh, dia kan bagi kau telefon. Mestilah dia bagi nombor dia sekali. Kau ada bawa tak?"
Anis terdiam. Baru dia ingat. Helmi ada memberi nombor telefon kepadanya ketika di taman rahsia itu. Tetapi dia langsung tidak ingat di mana dia meletakkannya.
"Aku rasa dia memang bagi. Tapi aku tak pasti aku letak dekat mana. Mungkin dalam kotak hadiah tu agaknya." Anis cuba meneka.
"Hurm... Kau ni! Macam mana boleh tak ingat? Kalau kau cakap nombor tu ada dalam kotak hadiah tu, tak ada harapanlah kita nak hubungi dia. Sabar ajelah, Anis. Tak lama mana pun. Nanti bila keputusan dah keluar, kau boleh jumpa dia balik," ujar Yanti.
Anis mengangguk perlahan-lahan. Kalau ada jodoh jumpalah tu, bisiknya dalam hati. Dia yakin sangat dengan semua itu. Sedangkan dulu dia pernah menunggu bertahun-tahun, apalah sangat setakat beberapa bulan.
"Kak Yani, terima kasih sebab benarkan Anis tinggal dengan kakak," ucap Anis sambil membantu Yanti membawa beg pakaiannya masuk ke bilik Kak Yani. Hari ini bermulalah kehidupan baru buat Anis. Permohonan Anis untuk bekerja di Gemala sudah lulus. Syukur betul Anis mendapat khabar itu. Tak adalah dia terpaksa pulang ke kampungnya semula. Tak perlu lagilah Anis menghadap wajah-wajah yang asyik membulinya dulu.
Namun dalam suasana gembira itu, Anis tetap berasa resah. Kebenaran daripada ayah untuk bekerja tidak pula dia pinta. Ayah sebetulnya tak mahu dia bekerja di mana-mana setelah habis peperiksaan. Pesan ayah, duduk sahaja di rumah dan tunggu keputusan. Tetapi semua itu sudah dirancang Allah. Anis tak mampu menyangkal.
Usai beramah serba sedikit dengan teman sebiliknya itu, Anis tiba-tiba sahaja diheret Yanti ke muka pintu. Entah apa lagilah yang sahabatnya itu mahu katakan.
"Anis, kejap lagi kau ikut aku pergi beli barang sikit," bisik Yanti ke telinga Anis.
Anis hanya menggangguk.
Selepas setengah jam perjalanan, akhirnya mereka tiba di hadapan sebuah pusat membeli-belah yang tersergam indah binaannya. Malah pemandangan di luar bangunan juga sangat cantik.
"Umi, nanti Yanti telefon umi kalau dah siap beli barang, ya?" Yanti melambai tangan kepada uminya yang baru menghantar mereka berdua. Uminya tidak dapat ikut sama kerana perlu mengambil adik-adik yang belajar agama.
"Wau! Besarnya bangunan ni. Panjang bukan main lagi," ujar Anis. Dia begitu teruja melihat kecantikan kawasan pusat membeli-belah itu. Namun tiba-tiba dia berasa hairan. Anis memandang Yanti sambil matanya terkebil-kebil.
"Kenapa?" soal Yanti pelik.
"Buka ke semalam tempat kerja aku tu namanya Gemala juga?"
"Yalah. Semalam pun kita datang sini juga. Tapi dari arah yang lain. Hari ni aku nak bawa kau jalan-jalan dalam pusat membeli-belah ni. Biar kau biasa sikit. Nanti tak adalah terkejut sangat tengok perangai customer!" Yanti terus menarik pergelangan tangan Anis.
"Eee... Besar kan tempat kerja aku ni? Matilah aku nak jalan jauh-jauh macam ni." Anis betul-betul teruja tatkala berjalan masuk ke dalam pusat membeli-belah. Terdapat banyak butik pakaian berjenama terkenal di sepanjang laluan. Hendak menyebut nama kedainya pun susah.
"Hesy! Kau mana kerja dekat sinilah!" sanggah Yanti sambil tersenyum melihat gelagat Anis. Naifnya kawan aku ni, detik Yanti. Sebak pula hatinya.
"Eh? Bukan ke? Habis tu aku kerja dekat mana?" soal Anis. Dia sudah seperti tidak tahu apa-apa lagi. Dia rasakan dirinya betul-betul terlalu kecil dan rendah. Melihat cara orang berjalan dan berpakaian, dia malu sendiri. Sesekali Anis memandang dirinya ke dalam cermin yang dilalunya sepanjang perjalanan. Buruk dan selekeh. Betul-betul macam orang kampung!
"Tempat kerja kau tu bukan di sini. Dekat sayap bangunan yang lagi satu tu. Dahlah... Jom kita masuk dalam kedai tu!" ajak Yanti.
Anis hanya menonong mengikut langkah Yanti. Matanya meliar melihat seluruh kawasan. Tempat ini sungguh cerah dan terang. Lampu sana sini. Sama seperti yang ditonton dari dalam kaca televisyen. Macam dalam drama.
Yanti sibuk memilih barang-barang yang diperlukan untuk Anis. Dia tidak mahu Anis meminjam daripada orang lain. Sebenarnya Yanti bimbang jika terjadi apa-apa kepada Anis. Dan kerana itu, dia berharap sangat kakak sepupunya akan menjaga Anis dengan baik. Yanti percaya Kak Yani akan menjaga Anis seperti adiknya sendiri.
"Yanti, aku nak buang airlah. Sejuk sangat tempat ni." Tiba-tiba Anis berbisik perlahan ke telinga Yanti.
"Eh, sekejap aku pergi bayar." Yanti terus membawa barang-barang ke kaunter pembayaran.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co