Bab 13
"Baim, saya dengar ada orang mengadu pasal tandas dekat tingkat satu tu. Ada apa-apa masalah ke?"
"Ah! Aluminium pantulan cahaya lampu dalam tandas lelaki tu tertanggal. Customer bising takut kepingan aluminium tu jatuh atas kepala," terang Baim sambil melangkah laju mengikut langkah ketuanya.
"Dah berapa hari benda tu macam tu?"
"Saya baru dapat tahu semalam, Encik Fateh," jawab Baim dalam keadaan bimbang.
Fateh menoleh ke arah Baim yang berjalan di sebelahnya. Wajahnya benar-benar tidak puas hati.
"Bahaya tu. Kenapa tak terus betulkan aje semalam? Kalau benda tu betul-betul jatuh atas customer macam mana? Nak kena saman?" bebel Fateh sambil meluru ke arah tandas yang dimaksudkan. Namun belum pun sempat dia memasuki tandas lelaki, tiba-tiba...
"Argh!" Anis memejamkan matanya serapat yang boleh. Hampir-hampir dia merempuh seorang lelaki yang baru melintas di hadapan pintu tandas wanita itu.
"Cik okey?" Fateh berdiri di sebelah gadis yang masih bersandar di tepi dinding itu. Dia terkejut betul dengan kejadian itu. Mujurlah dia sempat mengelak daripada melanggar gadis tersebut.
"Okey..." jawab Anis sambil tangannya memegang baju kurung yang sudah basah lencun di bahagian depan. Malu bukan main lagi. Sebenarnya dia tidak tahu bagaimana mahu menggunakan tandas yang canggih itu. Sudah puas dia mencari paip di dalam tandas namun dia tidak jumpa. Hanya ada tisu tandas sahaja. Nak tak nak dia terpaksa ambil air dari singki di luar tandas dan padahnya habis bajunya basah kerana terlajak menekan kepala paip.
Tidak pula dia tahu air dari singki sangat kuat. Malu betul apabila orang lain yang ada di dalam tandas itu memarahinya kerana membuatkan air terpercik kuat dan mengenai mereka. Ada juga perkataan bodoh dituju kepadanya. Namun apa boleh buat, memang dia yang salah. Anis hanya mampu minta maaf.
"Kenapa baju cik basah ni? Paip pecah ke?" soal Fateh hairan. Lengan Anis dipegang tanpa sedar.
"Tak, saya tertekan paip tu kuat sangat," jawab Anis malu-malu. Langsung tidak sedar tindakan Fateh yang dari tadi memegang lengannya.
"Keringkanlah dulu baju cik ni."
"Macam mana? Nak keringkan dekat mana?" soal Anis. Tak tahu bagaimana hendak digambarkan betapa malunya dia waktu ini. Agaknya kulit mukanya itu sudah boleh disamakan dengan kulit gajah agaknya. Warna merah pada kulit muka yang putih itu sudah sama dengan merah darah.
Fateh tidak membuang masa lalu menarik lengan Anis dan menolak gadis itu perlahan ke tepi pintu tandas. Lalu tangannya menyentuh sesuatu.
"Agrh!" Anis terkejut kecil ketika angin panas menerjah ke arahnya. Dia memandang lelaki tadi.
"Keringkan baju cik dengan pengering ni." Fateh cepat-cepat keluar dari tandas wanita. Bimbang jika pelanggan lain akan buruk sangka.
Baim hanya diam memerhati tindakan ketuanya. Lain pula perasaannya apabila melihat kejadiaan itu.
"Padan aje saya tengok bos dengan perempuan tadi tu," bisiknya ke telinga Fateh.
Fateh menjegil matanya ke arah Baim. Dia langsung tidak menjawab atau membantah kata-kata Baim. Sebaliknya dia terus menunggu gadis tadi keluar dari tandas.
Anis yang berusaha mengeringkan baju kurungnya itu akhirnya berpuas hati dengan keadaan baju yang sudah agak kering. Biarpun masih lembap namun cukuplah setakat itu. Dia harus cepat keluar dari tandas kerana Yanti sudah lama menunggunya. Anis melihat dirinya di cermin. Membetulkan apa yang patut dan melangkah keluar dari tandas.
"Baju cik dah kering ke?" Fateh menghampiri gadis berbaju kurung tadi. Pada pengamatannya, baju gadis itu sudah kering dengan baik.
"Haah... Terima kasih, ya." Anis tersenyum dan berlalu pergi. Namun tiba-tiba hidungnya menangkap sesuatu. Dahi Anis berkerut-kerut. Rasanya aku pernah bau macam ni dulu. Anis berpaling semula ke arah lelaki tadi. Dia melemparkan senyum kali keduanya lalu menghilang di sebalik pintu.
Fateh membalas senyuman dan melangkah laju ke tempat yang ingin ditujunya.
Baim yang melihat adegan itu tersenyum dan mengekori bos mudanya itu. Sudah sebulan Fateh bekerja di jabatannya menggantikan ketua mereka yang telah bersara. Kasihan dia melihat Fateh terpaksa mengambil jawatan itu. Bukan tiada orang lain yang layak untuk jawatan itu, malah mereka sudah mempunyai ramai pekerja lama yang lebih berpengalaman. Namun entah kenapalah Fateh yang harus menjadi bosnya. Kalau ikutkan kelayakan, Fateh lebih layak memegang jawatan yang lebih tinggi. Bukan kerja menukar lampu dan baiki kerosakan. Tak faham betul kenapa boleh jadi macam itu.
"Kau buat apalah lama sangat kat dalam tu, Anis?" tegur Yanti apabila melihat Anis datang menghampirinya.
"Baju aku basah teruk tadi. Dalam tandas tu aku tak jumpa paip airlah. Orang kat sini tak basuh dengan air ke? Kenapa buat tandas macam tu?" rungut Anis.
"Paip tu ada dalam mangkuk tandas itulah. Kau tak tekan ke?"
"Manalah aku tahu. Kat kampung mana ada benda macam tu," jawab Anis dalam nada marah.
Yanti tersenyum apabila mendengar jawapan mudah Anis. Betullah kata Anis itu.
"Ni... Aku dah belikan barang-barang untuk kau." Yanti menghulurkan sekarung besar plastik yang sarat dengan keperluan Anis.
Anis menyambut dengan wajah yang suram.
"Kenapa kau belikan semua ni untuk aku, Yanti? Kau guna duit kau ni, umi kau tak marah ke?" Anis serba salah dengan Yanti. Sudahlah dia datang ke rumah tanpa diundang ibu bapa temannya itu, malah keluarga Yanti melayannya dengan baik sekali. Yanti pula telah mencari kerja dan tempat tinggal untuknya. Rasa bersalah pula kerana telah menyusahkan orang seperti itu.
"Umi aku yang bagi duit tu. Dia suruh aku belikan keperluan untuk kau masuk rumah tu nanti. Yalah, kau mana ada bawa apa-apa pun datang sini. Mana boleh kau masuk macam tu aje. Nanti apa pula kawan-kawan Kak Yani tu cakap? Kita mana tahu perangai orang," luah Yanti.
"Tapi aku tengok dia orang tu baik aje," jawab Anis. Dia langsung tidak menyimpan prasangka buruk kepada bakal teman serumahnya itu.
"Hai... Jangan cakap dulu. Dah... Jom kita pergi ambil gambar dan beli kasut kerja kau."
Anis tidak faham maksud Yanti, namun dia terus mengekori Yanti hingga mereka tiba di sebuah kedai kasut.
"Hurm... Pilihlah yang mana kau suka. Umi suruh beli dua pasang!"
"Kenapa nak beli sampai dua pasang? Buat bazir duit aje." Anis tidak bersetuju. Sebenarnya dia segan dan malu.
"Alah, tak payah nak bantah. Umi kata kau kena beli dua pasang. Kau ikut ajelah. Aku ni jalankan amanah umi aku tu. Kalau kau tak beli dua pasang, aku juga yang kena nanti. Kau bukan tak tahu umi aku tu macam mana."
"Yalah, yalah... Eee... Suka membebel." Anis tersengih memandang Yanti yang mencebik bibir. Dia mula melihat satu per satu kasut yang dipamerkan. Semuanya nampak cantik dan mahal-mahal. Sebolehnya dia mahu mencari yang murah dan kena pada kakinya sahaja.
Sementara Anis memilih sendiri, Yanti menunggunya di atas kerusi yang berada di luar butik sambil melihat Anis dari jauh. Sesekali dia seronok melihat ragam pengunjung di pusat membeli belah itu. Ada yang datang dengan keluarga, kawan-kawan dan juga kekasih. Tiba-tiba matanya beralih pula pada dua orang lelaki yang berpakaian seragam dan salah seorang daripada mereka mengusung tangga.
Pekerja pusat membeli-belah ni agaknya... Tapi dia orang ni buat kerja apa ya? Yanti bersoal jawab sendiri. Dia terus memerhati dua orang lelaki tadi hingga mereka tiba di hadapan kedai kasut di hadapannya.
"Hai..." laung salah seorang daripada mereka.
Pekerja kedai kasut tiba-tiba berlari-lari anak mendapatkan mereka berdua.
"Encik Fateh, ini borang yang encik suruh kami isi tu." Pekerja kedai menghulurkan sekeping kertas kepada Fateh.
"Urm... Nantilah saya kutip. Boleh tak letak papan iklan awak ni dalam kedai? Ni dah blocked jalan customer. Kan dah bagi tahu?" arah Fateh dalam nada yang serius dan lembut.
"Ah! Sorry, Encik Fateh. Tadi saya lupa nak masukkan masa buka kedai. Sorry, sorry..." Pekerja wanita itu terus mengusung papan iklan masuk ke dalam kedai.
Setelah selesai menukar lampu yang rosak, Fateh dan Baim berlalu pergi.
"Oh... Berpangkatlah dia tu. Ingatkan maintenance biasa aje. Orang tu panggil dia encik lagi. Tapi kenapa buat kerja macam ni? Rupa dia tu lagi sesuai kalau jadi model minyak wangi. Tak pun iklan pencuci muka." Yanti menggeleng beberapa kali. Dia tersenyum sendiri mengenangkan ideanya itu. Bosan menunggu, akhirnya Yanti mengambil keputusan untuk masuk ke dalam kedai dan menghampiri Anis yang sibuk mencuba beberapa pasang kasut.
"Yang ini okey tak?" soal Anis sambil mendongak ke arah Yanti yang berdiri di hadapannya.
Yanti terus mengangguk tanda setuju.
Anis akhirnya membuat keputusan dan menyerahkan dua pasang kasut yang telah dipilih kepada pembantu jualan yang melayannya sejak tadi.
Yanti terus membuat pembayaran. Kemudian mereka berdua meninggalkan kedai tersebut dan menuju ke arah kedai gambar.
"Eh, Anis... Masa kau dalam kedai kasut tadi, kau ada nampak tak dua orang lelaki yang betulkan lampu depan kedai tadi tu?" soal Yanti tiba-tiba.
"Hurm... Aku perasan. Kalau tak silap, aku baru aje terserempak dengan dia orang tu depan tandas tadi. Tak tahu pula dia orang tu kerja dekat sini," terang Anis.
"Ya ke? Kau tak bagi tahu aku pun?" Yanti mencebik bibir.
"La... Bukan penting pun. Masa aku nak keluar dari tandas tu, aku hampir-hampir langgar yang panjat tangga tadi tu. Lepas tu dialah yang tunjukkan aku tempat keringkan baju." Anis menceritakan perkara yang telah terjadi secara ringkas. Malas pula hendak cerita dengan lebih terperinci. Takut-takut Yanti akan banyak tanya pula.
"Hurm... Macam tu ke? Aku bukan apa, dari tadi aku pandang dia orang tu. Yang panjat tangga tu kacak sangat untuk buat kerja macam tu. Kan lagi elok kalau dia jadi model aje," ujar Yanti.
Anis tersenyum melihat gelagat temannya itu. Anis cuba mengingati wajah lelaki yang menolongnya itu tadi. Memang ada rupa. Suara pun sedap bila bercakap. Dan paling aku tak boleh lupa bau dia tu, bisik Anis dalam hati. Sudah dua kali dia menghidu bau itu. Kali pertama semasa bertembung dengan ketua kampung dulu.
"Anis!" sergah Yanti.
"Huh?" Anis hampir sahaja melatah.
"Kau ni... Berangan ek?"
"Mana ada?" Anis menyangkal dengan teragak-agak. Matilah kalau tertangkap oleh Yanti kerana memikirkan lelaki tadi.
"Anis aku nak tanya kau sesuatu ni. Aku harap kau jujur dengan aku, ya?"
Anis berubah air muka. Namun dia tetap membenarkan Yanti bertanya.
"Sebenarnya apa yang dah terjadi dengan kau ni? Kenapa kau lari dari rumah? Takkan kau kena pukul pula? Cuba kau bagi tahu hal yang sebenarnya. Sekurang-kurangnya aku tahu," luah Yanti. Sebenarnya dia rasa bersalah mendesak Anis begitu. Tetapi apa boleh buat... Kalau dia tidak tahu hal yang sebenar, dia bimbang jika ayah Anis menuduhnya yang bukan-bukan nanti.
Semestinya dia harus ada alasan yang kukuh kerana menyembunyikan Anis dari keluarga tirinya itu.
Lama Anis mengambil masa untuk bercakap semula. Lidahnya kaku dan dia tidak sampai hati untuk bercerita.
"Aku minta maaf, Yanti. Aku tak boleh bagi tahu. Kalau kau rasa bersalah pada keluarga aku, kau anggap ajelah aku saja nak bebas dari mak tiri aku. Kau jangan anggap aku lari dari rumah." Anis menggenggam kuat tangan Yanti. Seburuk-buruk mana pun sikap keluarga tirinya, dia tetap menganggap mereka itu keluarganya. Lagipun Shahlan tidak melakukan apa-apa pun terhadapnya pada malam itu. Jadi lebih baik dia mendiamkan sahaja hal itu. Demi ayahnya juga.
Yanti mengeluh panjang. Dia sedikit kecewa kerana Anis masih tidak mahu menceritakan hal yang telah terjadi. Namun dia tidak boleh memaksa lagi. Anis pasti ada sebab sendiri. Akhirnya dia akur dan mereka meneruskan perjalanan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co