Bab 3
"Fateh! Cepat tolong atuk!" laung Kassim kepada cucunya.
Hesy! Apa hal pula ni? Fateh mendengus kasar. Sudahlah dia masih marah kerana datuknya asyik menyuruh dia bersembahyang di masjid. Sekarang ini nak kena tolong budak yang mabuk tu pula. Fateh turun dari kereta Honda Accord datuknya.
"Apa hal ni, tuk? Buat apa nak tolong budak mabuk ni? Naik basikal tu tak pandai nak tengok depan!" omel Fateh sambil mencekak pinggang. Dia hanya menjeling ke arah tubuh budak perempuan yang masih tertiarap di perdu pisang itu. Padan muka! ejeknya dalam hati.
"Eee... Kamu ni... Banyak cakap pula! Atuk suruh tolong tu tolong ajelah. Cepatlah angkat budak ni! Dah pengsan ni!" Kassim berdiri di tepi untuk memberi laluan kepada Fateh.
Fateh pula memandang tepat ke dalam mata datuknya. Dia tidak faham maksud datuknya itu. Dia mengangkat mukanya.
Kassim sudah hilang kata-kata. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia mengetuk kepala cucu yang seorang itu. Memang tak faham atau buat-buat tak faham budak ni?! bentak Kassim. Dia menggeleng beberapa kali.
"Fateh! Kamu ni memang tak faham ke?!" jerkah Kassim, kuat.
Fateh benar-benar terkejut dengan pertanyaan datuknya itu.
"Apanya atuk?" Fateh mencekak pinggang. Geram kerana dijerkah tanpa sebab.
Tok!
"Adoi! Sakitlah, atuk! Apa tu?" Fateh menggosok kepalanya yang baru sahaja terkena buku lima Kassim.
"Ubat! Ubat supaya kamu tu sedar balik. Kamu ni makan apa hah dekat bandar tu? Bengap bukan main lagi!" luah Kassim. Makin tak tahan melihat sikap Fateh itu. Berbeza betul dengan Bunyamin.
Fateh menarik muncung tajam. Dah aku tak faham nak buat macam mana? Cakap ajelah nak suruh aku buat apa. Ini tak, terkenyit-kenyit pandang aku. Tahulah yang aku ni kacak bukan main. Tak payahlah asyik nak pandang aku aje, bebel Fateh dalam hati.
"Hoi! Berangan apa lagi kamu ni?! Angkatlah cepat budak ni. Kamu nak biar dia mati dekat sini ke?" Sudah hilang bahasa lembut yang biasa diguna. Kalaulah orang kampung mendengar dia bercakap macam ni, entah apa pandangan mereka semua. Tetapi apa boleh buat. Dengan cucunya yang suka buat kepalanya pening, dia tidak boleh berfikir lagi bahasa apa yang paling elok harus digunakan.
Ah! Nak suruh aku angkat cakap ajelah dari tadi. Fateh tidak henti-henti membebel dalam hati. Kemudian dia terus mendekati Anis yang masih belum sedarkan diri. Dia terus mengangkat tubuh itu lalu dimasukkan ke dalam kereta.
"Jom bawa balik rumah atuk dulu!" arah Kassim.
Dan kerana arahan itu, Fateh terus tersenyum-senyum. Hurm... Selamat aku, bisiknya dalam hati.
"Ah! Tak payah kamu nak berangan. Lepas hantar dia balik rumah nanti, kamu jadi imam dekat rumah. Kita berjemaah dekat rumah aje hari ni." Kassim bersuara tegas. Tak boleh buat main dengan cucunya yang seorang ini. Walaupun umur sudah meningkat, sikap dan perangai Fateh tak ubah macam budak sekolah. Tak guna ibu bapanya menghantar belajar sampai ke universiti. Otak sahaja yang bijak tapi perangai masih tak matang. Kassim memandang ke belakang kereta. Tak pasti anak siapa yang pengsan itu.
Fateh yang terang-terang kecewa terus memandu tanpa mempedulikan keadaan gadis yang berada di kerusi belakang. Dia tidak berminat nak ambil tahu. Sememangnya Fateh tidak pernah ambil peduli dengan mana-mana gadis selepas berpisah dengan kekasihnya setahun yang lalu. Apatah lagi gadis yang berada di kerusi belakang itu ialah orang kampung. Memang dia tidak pernah berminat dengan gadis kampung. Fateh terus memandu laju menuju ke rumah datuknya. Sesekali dia memandang datuknya yang dalam keresahan.
"Dah pergi mana pula budak ni? Nak pergi mana tu tak nak bagi tau aku dulu. Suka hati dia aje nak keluar mana-mana pun." Mak Cik Laila mula membebel sendiri.
"Mak nak tahu tak, dari petang tadi lagi Anis tu keluar. Pasti dia ada buat perkara tak elok, mak. Bukan ke pelik kalau dia keluar tanpa bagi tahu kita apa-apa? Sudahlah tak hormatkan mak, ini dah pandai pula sembunyi-sembunyi. Wah! Dia fikir dia dah habis sekolah tu, dia dah besar sangat ke?" Suzie sengaja mahu menaikkan perasaan marah emaknya. Dia tahu emaknya mudah panas dan akan mengamuk jika diapi-apikan begitu.
"Haiii... Memang nak kenalah dia ni! Mentang-mentang dah habis belajar, dah besar kepala pula? Tunggulah nanti kalau dia balik!" Mak Cik Laila terus-menerus membebel dan melayan rasa marahnya. Sememangnya Anis sudah dianggap beban kepada hidupnya. Jika Anis tiada sudah pasti hidupnya dan dua orang anaknya itu akan senang. Bukan dia tidak tahu suaminya itu punya harta peninggalan daripada arwah isteri pertamanya.
Suzie memandang tepat ke muka emaknya. Mungkin ada sesuatu yang sedang difikirkan oleh emak hingga air mukanya berubah. Apa yang mak aku fikir ni? Macam dahsyat sangat aje, teka Suzie dalam hati.
"Mak fikir apa, mak?" soal Suzie.
Mak Cik Laila memandang Suzie yang sedang bersimpuh di tepi tangga rumah. Sudah hampir sejam mereka menunggu Anis yang masih belum pulang. Risau juga jika tiba-tiba suaminya pulang. Pasti dia juga yang kena marah sebab tidak menjaga Anis betul-betul. Jika suaminya itu marah pasti susah jadinya. Selama ini dia berpura-pura baik dengan Anis jika suaminya ada di rumah. Tapi pelik pula kenapa Anis tidak pernah mengadu kepada suaminya itu.
Selama ini bermacam-macam perkara tidak elok dilakukan terhadap Anis. Tidak cukup dengan itu, Suzie dan Shahlan juga turut membuli Anis. Tetapi Anis tidak pernah mengadu apa-apa. Pasti budak itu ada rancang apa-apa. Mungkin suatu hari nanti dia akan dedahkan semuanya. Ah! Tak mungkin. Kalau dia buat macam tu, siaplah dia dengan adik dia tu, bisik Mak Cik Laila dalam hatinya.
"Hai... Mak ni orang tanya dari tadi tak jawab-jawab," tegur Suzie apabila melihat emaknya mengelamun jauh.
"Tak ada apa-apalah. Mak cuma risaukan ayah kau tu. Mana tahu kalau dia tiba-tiba balik hari ni. Macam mana mak nak jawab dengan dia?" luah Mak Cik Laila.
"Hai... Kan mak juga yang cakap ayah tak balik seminggu? Hari ni baru hari kedua. Jangan mak risaukan sangat hal tu. Sekarang ni baik kita masuk aje dalam rumah. Buang masa aje kita tunggu budak bertuah tu. Nanti kalau dia balik, mak marah dia sungguh-sungguh tau. Jangan bagi dia makan!"
Suzie dan Mak Cik Laila bangun lalu melangkah ke dalam rumah. Tetapi belum pun sempat Suzie menutup pintu, tiba-tiba muncul sebuah kereta memasuki pekarangan halaman rumah.
"Kau ni tak tahu malu ke hah!" jerkah Mak Cik Laila setelah kereta ketua kampung hilang dalam gelap malam. Geram hatinya apabila melihat Anis hanya diam membisu di tepi dinding. Tebal mukanya apabila melihat ketua kampung tiba di rumah sebentar tadi. Rupa-rupanya Anis ada di rumah ketua kampung. Pasti ada yang tidak kena ni, bisik hatinya. Mungkin juga Anis mengadu hal dia dan anak-anaknya kepada ketua kampung.
Anis hanya tertunduk diam. Dia tidak tahu bagaimana lagi harus diterangkan hal yang sebenar kepada mak tirinya itu. Padahal tadi ketua kampung telah jelaskan segalanya kepada Mak Cik Laila.
"Kau pergi buat apa dekat rumah tok ketua tu Anis?" Giliran Suzie pula bertanya. Dia juga risau jika Anis ada buat aduan kepada ketua kampung. Mana tahu jika Anis menuduh dia dan emaknya mendera dirinya.
"Mak cik, Kak Suzie... Tadi baru aje ketua kampung bagi tahu yang Anis jatuh basikal dan pengsan. Sebab itulah Anis boleh sampai ke rumah dia tu," jelas Anis.
"Tipu! Kau jangan nak tipu aku. Aku tahu kau pergi mengadu tentang kami dekat tok ketua tu. Mesti kau dah lama nak buat macam ni, kan?" tingkah Mak Cik Laila. Dia sudah hilang sabar mendengar suara Anis yang tenang itu.
"Memang pun mak. Mesti dia tipu mak tu. Jangan percaya cakap dia, mak!" Suzie sengaja menambahkan lagi amarah emaknya. Dia berharap sangat emak akan mengamuk dan menghalau Anis dari rumah itu.
"Kak, Anis tak buat pun macam tu. Biarpun mak cik dengan Kak Suzie memang buat perkara tak baik pada Anis, tapi Anis bukan jahat macam kakak dengan mak cik sampai nak buat macam tu!"
Pang!
"Kurang ajar punya budak. Kau keluar sekarang dari rumah ni!" jerkah Mak Cik Laila. Dia sudah tidak peduli lagi apa kata suaminya nanti.
Anis meraba pipinya yang pedih. Namun hatinya lagi pedih. Air matanya deras mengalir. Dia sudah hilang sabar dengan sikap mak cik dan kakak tirinya. Selama ini dia hanya memendam dalam hati. Tapi hari ini dia tidak peduli lagi.
"Apalagi ni? Kau tak dengar ke mak aku cakap apa tadi? Berambus sekarang! Aku benci tengok muka kau tu!" Suzie mendengus. Kedua-dua belah tangan dicekak ke pinggang. Sebenarnya hatinya gembira kerana rancangannya menjadi.
Anis memandang tajam ke arah Suzie. Terasa ringan tapak tangannya waktu ini. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menampar muka Suzie itu. Tetapi atas rasa hormat dia diamkan sahaja. Biarpun jarak umurnya dengan Suzie hanya setahun, namun dia tetap menghormati Suzie.
"Mak cik kena ingat sikit mak cik duduk rumah siapa sekarang ni. Ini rumah saya, rumah arwah mak saya," luah Anis perlahan.
Terbeliak anak mata Mak Cik Laila apabila mendengar kata-kata Anis itu. Mahu sahaja dia menampar muka gadis itu sekali lagi.
Namun tiba-tiba Suzie menerkam dan menarik rambut Anis. Mereka bergelut untuk beberapa saat sebelum dileraikan oleh Mak Cik Laila.
"Kurang ajar punya budak. Biar Suzie ganyang budak ni, mak!" jerit Suzie. Terasa sakit kulit kepalanya kerana Anis juga turut menarik rambutnya.
"Kak, mak cik! Kalau mak cik dengan kakak buat apa-apa pada saya, saya report polis malam ni juga!" tegas Anis. Dia bukan budak bodoh yang boleh diperlakukan sebegitu rupa lagi. Mungkin sebelum ini Mak Cik Laila dan Suzie menganggapnya lemah dan sebab itulah mereka membulinya sesuka hati. Tetapi Anis tidak mahu lagi menjadi mangsa. Sekarang masanya untuk dia bangkit semula.
Mak Cik Laila dan Suzie berpandangan sesama sendiri. Tidak menyangka Anis berani mengugut mereka begitu.
"Kau ni memang nak mati agaknya!" balas Suzie.
"Kalau saya mati, Shahlan dengan mak cik akan meringkuk dalam penjara. Atirah akan bagi tahu semua hal yang berlaku pada saya selama ni kepada polis dan ketua kampung. Dan ayah pasti akan ceraikan mak cik!" luah Anis geram. Puas hatinya. Entah dari mana datangnya idea untuk bercakap begitu sedangkan Atirah tidak pernah tahu apa yang terjadi kepadanya selama ini. Dia tidak pernah menceritakan kepada Atirah. Dia tidak mahu Atirah risau dan memberitahu kepada ayah.
Mak Cik Laila dan Suzie tercengang. Kali ini Mak Cik Laila tidak dapat berkata apa-apa lagi.
Perkataan cerai begitu menakutkannya. Bagaimana hidupnya nanti jika diceraikan oleh ayah Anis? Sudahlah dia tidak punya sesiapa. Harta sesen pun tiada. Selama ini hidupnya bergantung seratus-peratus kepada suaminya.
Mak Cik Laila menarik lengan Suzie kemudian meninggalkan Anis sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co