Truyen3h.Co

Kerana Cinta

Bab 4

karyaseni2u

"Tak boleh jadi ni mak. Ingatkan kita yang halau dia. Ini, dia pula yang halau kita!" bentak Suzie. Risau hatinya jika betul-betul dia perlu keluar dari rumah ini. Tak sanggup lagi dia tinggal di dalam rumah yang buruk macam kandang lembu. Hidupnya sekarang ini sudah terlalu sempurna.

"Kurang ajar punya budak! Nanti kau. Nak ugut aku, ya?" Mak Cik Laila mengacip giginya tanda geram. Namun otaknya ligat berpusing mengatur rancangan untuk mengusir Anis. Mungkin ini adalah masa yang paling sesuai memandangkan Anis telah tamat persekolahan. Tentang suaminya dia tidak pernah risau. Setakat memberi alasan kepada ayah Anis, Mak Cik Laila rasakan itu adalah kerja yang paling senang. Suaminya itu lurus dan mudah tertipu.

"Mak, mak nak halau dia juga ke?" soal Suzie dalam keadaan bimbang.

"Mak akan buat dia keluar dari rumah ni. Kalau ayah kau balik nanti mak tahulah nak cakap apa. Mesti ayah kau percaya cakap mak." Mak Cik Laila tersenyum puas. Dia sudah punya rancangan untuk menyingkirkan Anis dari hidupnya.

Suzie merenung wajah emaknya yang tersenyum lebar. Tiba-tiba muncul satu idea di dalam kepalanya.

"Mak, jangan risau, mak. Nanti Suzie akan tolong mak jelaskan pada ayah." Suzie juga turut tersenyum. Dia mengangguk perlahan.

Mak Cik Laila mengambil telefon bimbitnya lalu menelefon seseorang. Lama Mak Cik Laila menunggu panggilannya dijawab.

"Shahlan kau nak balik pukul berapa ni?" soal Mak Cik Laila, keras. Tapi suaranya perlahan.

Suzie memandang emak yang sedang berbual dengan Shahlan. Dia cuba mengamati butir perbualan emak dengan abangnya. Seperti ada sesuatu yang sedang dirancang oleh emak dan abangnya itu tetapi dia kurang pasti apakah rancangan itu.

Usai memberitahu rancangannya kepada Shahlan, Mak Cik Laila tersenyum puas. Dia pasti Anis akan keluar esok pagi juga.

Suzie mengerutkan dahi beberapa kali. Tidak faham apa maksud senyuman emaknya itu. Namun begitu Suzie tahu emak telah merancang sesuatu yang boleh membuatkan Anis angkat kaki keluar dari rumah.

"Malam ni kau tidur dengan mak. Jangan sesekali masuk ke bilik sana!" arah Mak Cik Laila tegas.

Suzie hanya mengangguk. Jika emak tidak menyuruh pun dia tetap mahu tidur bersama emaknya malam ini. Dia tidak ingin masuk ke bilik sebelah. Meluat melihat wajah Anis.

Anis mengepal-ngepal penumbuknya. Entah kenapa hatinya resah dan berdebar-debar. Seperti akan berlaku perkara yang tidak elok sahaja. Atau mungkinkah aku rasa bersalah terhadap mak cik dengan Kak Suzie? soalnya dalam hati. Anis memandang jam dinding. Sudah pukul 10.45 malam. Selepas bertengkar dengan Mak Cik Laila dan Suzie, dia langsung tidak keluar dari bilik itu.

Perut yang lapar juga dibiarkan begitu sahaja. Sekali-sekala terlintas dalam hati Anis untuk berjumpa dengan Mak Cik Laila dan Suzie untuk memohon maaf atas keterlanjuran mulutnya. Sudah pasti mereka berkecil hati dengan aku ni. Anis tidak habis-habis berfikir. Entah kenapa dia boleh meledak tadi. Jika selama ini dia hanya diam dengan segala perbuatan Mak Cik Laila dan Suzie, tetapi hari ini dia sudah hilang sabar. Tidak sanggup lagi rasanya mendengar jerkahan Mak Cik Laila yang membuta-tuli memarahinya.

Bukankah ketua kampung sudah terangkan hal yang sebenar? Kenapa masih nak tuduh aku yang bukan-bukan lagi? Kalau kena dekat anak dia baru tahu. Anis membebel dalam hati.

Walaupun rasa bersalah kerana bersikap kurang ajar sebentar tadi, namun dia tidak boleh terima sikap mak dan kakak tirinya.

Anis meninjau-ninjau ke pintu bilik. Sengaja dia tidak mengunci pintu. Mana tahu jika Suzie mahu masuk nanti. Anis meraba-raba perutnya berulang kali. Terasa sangat lapar pula. Namun Anis tetap menahan. Kalau dia turun ke dapur apa pula kata mak cik nanti? Sudahlah melawan cakap dia, ini hendak makan pula apa yang dia masak. Anis mengeluh panjang. Kesal dengan apa yang berlaku.

Matanya pula mula layu. Mengantuk bukan main lagi. Biarpun perut masih belum diisi, rasa mengantuk mengalahkan semuanya. Anis baring di atas katil sambil menatap siling. Tiba-tiba ingatannya melayang jauh. Terbayang di kotak fikiran suasana sekolah dan Helmi. Perasaan rindu mula datang mengusik. Anis tersenyum lebar apabila teringat gelagat Helmi semasa mereka berdua berjalan bersama petang tadi.

"Macam mana dia boleh berani nak buat macam tu dekat aku?" Anis tersenyum lagi sambil meraba pipi yang kali pertama dikucup oleh seorang lelaki. Teringat kata-kata Helmi.

"Saya pasti, sayalah orang pertama yang kucup pipi awak tu, kan?" ujar Helmi yakin.

"Ya..." Anis meraba pipi yang baru dikucup Helmi. Sebenarnya dia masih tergamam.

"Saya memang nak jadi orang pertama dan terakhir... Saya nak awak tahu yang saya benar-benar cintakan awak, Anis," luah Helmi bersungguh-sungguh.

"Tapi macam mana kalau suatu hari nanti kita tak ditakdirkan untuk bersama?"

"Tak. Saya akan pastikan kita akan terus bersama. Saya pasti..."

Tiba-tiba hati Anis terasa sebak apabila mengingati saat itu. Helmi betul-betul serius dengan hubungan mereka. Anis percaya kata-kata Helmi. Mungkin perjalanan hidup mereka berdua terlalu jauh. Namun Anis nekad untuk terus setia kepada Helmi sebagaimana dia pernah setia menanti cinta lelaki itu sebelum ini. Tujuh tahun hatinya tetap pada Helmi. Sudah pasti lima tahun akan datang dia masih seperti itu.

Anis teringat telefon bimbit yang dihadiahkan oleh Helmi. Alangkah baiknya jika telefon bimbit itu boleh diguna pada waktu ini. Ingin diluahkan segala masalahnya kepada Helmi. Anis pasti Helmi juga akan membelanya. Namun begitu, Anis sedar jika dia menceritakan hal itu kepada Helmi bermakna dia membuka aib keluarganya sendiri. Anis menggeleng. Pasti orang tidak suka berkawan dengannya jika tahu situasi keluarganya begitu. Malah Anis malu punya keluarga seperti mak cik dan Suzie

Anis menonyoh matanya yang sudah mula terlelap. Pintu bilik dipandang beberapa kali.

"Kak Suzie ni nak masuk ke tak nak ni? Aku dah mengantuk ni. Kalau aku kunci bilik sekarang ni, nanti dia nak masuk pula." Anis membebel sendiri.

Anis menyapu seluruh mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya. Terasa tegang kulit mukanya kerana air mata yang mengering di kulit pipi.

"Hurm... Wanginya!" Anis mencium-cium baju dan tapak tangannya berulang kali. Anis cuba mengingat kembali bau yang melekat di seluruh tubuhnya itu. Seingatnya dia tidak pernah punya minyak wangi atau memakai mana-mana minyak wangi sebegitu. Helmi juga tidak pernah ada bau begitu. Sungguh lembut dan harum tatkala bau itu menusuk hidung.

"Ah! Baru aku ingat." Anis mula teringatkan seseorang yang punya bau begitu.

Orang yang bawa kereta tok ketua tadi tu. Anis pasti bau yang melekat di seluruh tubuhnya itu adalah kepunyaan lelaki muda bersama ketua kampung tadi.

"Kalau tak silap aku, tok ketua panggil dia Fateh. Cucu dia kot sebab orang tu asyik panggil tok ketua tu atuk je. Hurm... Wanginya..." Anis tersenyum sendiri. Tidak sampai beberapa minit, ingatannya pada lelaki yang telah 'memberi' haruman kepadanya itu hilang begitu sahaja.

Tidak beberapa lama dia menunggu Suzie, akhirnya matanya tertutup rapat. Anis terus tertidur tanpa menyedari apa-apa lagi.

Di luar rumah yang tidak disinari lampu, Shahlan melangkah terhuyung-hayang menaiki anak tangga. Suasana rumah yang gelap itu menyukarkan lagi langkahnya. Kepalanya yang berpusing-pusing menyebabkan langkahnya acap kali tersadung. Namun tatkala dia hampir terjatuh, tangannya kuat memaut pada dinding. Beberapa kali dia memanggil emaknya namun orang tua itu tidak menyahut. Shahlan memandang jam.

"Urm... Pukul berapa ni? Aku tak nampak apa-apa pun ni. Ke jam ni dah rosak?" Shahlan cuba memejamkan matanya beberapa kali. Mungkin dengan cara itu penglihatannya akan sedikit segar. Namun akhirnya dia berputus asa. Matanya langsung tidak dapat melihat jarum jam.

Shahlan cuba membetulkan kedudukannya. Dia cuba berdiri tegak. Pintu bilik Anis ditenung lama. Tanpa membuang masa, dia terus meluru perlahan ke arah bilik Anis. Mungkin waktu ini Anis juga sudah terlelap. Shahlan menolak pintu bilik perlahan-lahan.

Ah? Tak kunci rupa-rupanya bilik budak ni. Macam tahu-tahu aje aku nak masuk malam ni. Shahlan melangkah perlahan ke dalam bilik. Biarpun kepalanya masih pening-pening tetapi dia boleh melihat sekujur tubuh yang sedang terbaring. Shahlan tersenyum puas. Dia menutup pintu bilik dan terus mengunci dari dalam.

Tanpa membuang masa dia terus melabuhkan badannya di sebelah Anis yang langsung tidak menyedari kehadirannya. Tidur mati ke dia ni? bisiknya dalam hati. Shahlan menanggalkan jaket dan baju T-shirtnya. Terasa sedikit segar apabila kulit badannya ditiup kipas angin.

Tidak sampai lima minit dia terlentang di sebelah Anis, akhirnya Shahlan terlena. Langsung dia tidak dapat menyelesaikan 'kerja' yang telah diarahkan oleh emaknya sebelum pulang tadi. Matanya sudah berat dan tidak dapat dibuka lagi. Malah tubuh badannya juga sudah lemah dan tidak boleh berdiri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co