Truyen3h.Co

Kerana Cinta

Bab 5

karyaseni2u

Anis membuka matanya apabila terasa sesuatu yang berat berada di atas dada. Terasa sesak nafasnya. Dia memandang di sebelah kiri. Mungkin Suzie. Tetapi pelik pula kali ini. Selama ini kakak tirinya itu tidak pernah tersentuh atau menyentuhnya ketika tidur. Biarpun mereka sekatil tetapi Suzie memang layak dipuji. Dia tidak pernah menyebabkan orang di sebelahnya berasa tidak selesa. Tidurnya hanya satu arah. Anis menolak lengan yang masih berada di atasnya.

Eh! Kenapa aku rasa macam lain aje ni? bisik Anis dalam hati. Anis cuba mengamati susuk tubuh di sebelahnya itu. Ingin dihidupkan lampu tetapi dia tidak berani.

"Ya Allah!"

Anis terus melompat turun dari katil. Matanya berair dan nafasnya naik turun. Marah dan benci segalanya bercampur baur. Anis terus memeriksa seluruh tubuhnya.

Hah! Nasib baik tak ada apa-apa berlaku dekat aku. Waktu itu perasaan takut mula menyelubungi seluruh jiwa Anis. Dia melihat jam di atas meja. Tepat pukul 4:00 pagi.

Anis berpeluh-peluh. Tak tahu apakah tindakan yang patut diambil. Sebenarnya dia berniat mahu menjerit, tetapi apabila mengenangkan Shahlan itu abang tirinya, Anis mematikan sahaja niatnya itu. Malah dia malu jika hal itu diketahui oleh Mak Cik Laila dan Suzie. Pasti Shahlan juga akan rasa malu. Jika dia memberitahu hal ini pada ketua kampung atau polis pasti heboh satu kampung.

Anis bersandar di dinding bilik. Dia berfikir dan terus berfikir tindakan apa yang patut dilakukan. Pertengkarannya dengan Mak Cik Laila dan Suzie malam tadi masih belum reda. Ini pula yang terjadi. Entah Mak Cik Laila akan membelanya atau menuding jari menuduh dia yang menggoda Shahlan pun Anis tidak pasti. Mungkin juga akan terjadi begitu. Ah! Anis sudah tahu jawapannya. Lalu dengan pantas dia bangkit dan mengemas apa yang patut.

Lalu dengan hati yang sedih dan sayu, Anis melangkah perlahan-lahan menuruni rumah yang telah dihuni selama 17 tahun itu. Dia meninggalkan kenangan kecilnya dan meninggalkan ayah tercinta.

"Ayah... Anis minta maaf." Air mata Anis tidak henti mengalir. Entah ke mana kakinya akan melangkah, dia juga belum pasti. Anis mengusung beg pakaiannya di belakang. Setengah jam dia berjalan tanpa tujuan. Bunyi kaset orang mengaji yang dipasang di masjid berhampiran mula bergema menandakan sebentar sahaja lagi waktu subuh akan tiba. Bermakna pagi juga kian hampir. Anis semakin gusar. Dia bimbang jika kehilangannya akan diketahui Mak Cik Laila. Pasti Mak Cik Laila akan menyuruh Shahlan menjejakinya. Aku tak nak balik lagi ke rumah tu! tegas hati Anis.

Setelah lama berjalan akhirnya dia tiba di sebuah perhentian bas.

"Nak pergi mana awal pagi macam ni, dik?" soal salah seorang wanita yang berada di situ.

Anis terkejut apabila mendengar soalan kakak tersebut.

"Ah, tak adalah. Saya nak ke pekan ni." Entah dari mana datangnya idea sebegitu, Anis sendiri tidak pasti. Sebetulnya dia sudah terlalu penat hendak berfikir dan bercakap. Malah Anis juga bimbang jika wajahnya dikenali orang di perhentian bas itu.

"Awalnya tunggu bas. Waktu ni mana ada bas lagi. Bas kilang banyaklah," balas salah seorang wanita yang lain.

"Urm... Saya pun tak pasti sangat. Tapi tiket bas saya awal. Itu yang saya keluar awal-awal ni," jawab Anis walaupun tidak pasti.

"Urm... Okeylah dik. Kami gerak dulu, ya. Jaga diri tu..."

Anis memandang ketiga-tiga orang kakak tadi menaiki bas pekerja. Tinggallah dia sendiri di situ. Angin pagi yang sepoi-sepoi bahasa membuatkan sehelai dua rambut Anis jatuh ke tepi pipi.

Anis menyelak rambutnya ke celah telinga. Dipandang langit yang kian cerah. Mungkin sebentar lagi bas pertama yang memasuki kampung itu akan sampai. Anis sudah membuat keputusan ke mana perlu dia melangkah. Tiada tempat di kampung ini yang paling selamat dan tidak diketahui oleh Mak Cik Laila dan Shahlan. Mak Cik Laila dan anak-beranaknya itu bukannya orang luar pun. Semuanya asal dari kampung itu juga. Bahaya jika dia terus berada di kampung.

Hampir setengah jam dia menunggu akhirnya bas yang dinanti tiba juga. Anislah orang pertama yang menaiki bas itu. Masih terlalu awal sebab itulah tidak ramai penumpang. Anis melihat pemandangan luar. Sesekali dia menyeka air mata yang ingin mengalir.

"Sampai hati kau, Shahlan. Sampai hati kau!" Anis tidak henti-henti berasa sedih dan kesal dengan perbuatan keji Shahlan.

Anis memerhati sekeliling halaman sebuah rumah. Lampu dari dalam rumah menembusi corong-corong ukiran pada bahagian paling atas dinding rumah. Rumah papan berwarna biru dan separuh putih itu sangat cantik sekali. Anis tersenyum kerana akhirnya dia selamat juga tiba di tempat yang ingin ditujunya. Hanya inilah tempat yang berada di dalam fikirannya tadi. Anis melangkah perlahan ke kaki tangga.

"Assalamualaikum," laung Anis.

Namun tiada jawapan. Anis cuba menunggu sebelum memberi salam untuk kali kedua. Setelah tiga kali salam diberi barulah terdengar suara orang menjawab.

"Waalaikumussalam."

Pintu hadapan rumah dibuka perlahan-lahan. Wajah seorang wanita tua yang masih bertelekung terjengul di celah pintu yang masih belum dibuka luas. Tiada senyuman yang dilemparkan.

Anis faham. Dia tersenyum kepada wanita itu.

"Nenek, Yanti ada tak?"

"Yanti? Dia tengah solat. Naiklah dulu," jemput wanita tua itu sambil tersenyum.

Tanpa berlengah Anis terus melangkah menaiki anak tangga bersama-sama beg pakaiannya. Anis terus bersalaman dengan wanita yang masih belum diketahui namanya itu.

"Duduklah dulu. Nenek pergi tengok Yanti sekejap, ya," pelawa wanita tua itu biarpun hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan remaja yang membawa beg pakaian itu. Dia tidak mahu menuduh melulu atau berprasangka buruk. Biarlah Yanti yang memberitahunya nanti. Dia terus berjalan menuju ke bilik cucunya.

Yanti yang baru sahaja selesai melipat telekung menoleh ke arah pintu bilik yang baru diselak oleh neneknya.

"Yanti, ada orang nak jumpa Yanti. Dia ada dekat ruang tamu depan. Pergilah tengok. Nenek siapkan air dulu, ya."

Belum pun sempat Yanti bertanya lebih lanjut, neneknya terus berlalu. Dalam kehairanan dan penuh tanda tanya, Yanti terus melangkah laju ke ruang tamu hadapan.

"Ah, Anis?" Yanti terus menerpa ke arah Anis.

Biarpun waktu itu air mata bagai mahu tumpah laju di pipi, namun Anis cuba bertahan. Bimbang pula jika nenek atau datuk Yanti perasan. Pasti mereka akan mengesyaki sesuatu.

Biarpun Anis tidak berkata apa-apa namun dari riak wajah Anis itu, Yanti sudah mengagak ada sesuatu yang buruk telah menimpa sahabat baiknya itu. Pasti semua itu ada kaitan dengan keluarga tiri Anis. Tanpa berlengah dia terus mengangkat beg pakaian Anis dan membawanya terus ke dalam bilik. Dia juga tidak mahu bersembang di ruang tamu itu. Jika atuk terdengar lebih parah jadinya.

"Yanti..."

Yanti menoleh ke arah Anis.

"Terima kasih," luah Anis.

"Jom masuk bilik aku dulu. Kau ni nampak macam tak cukup tidur aje. Apa kata kau tidur dulu. Dah bangun nanti baru kau explain dekat aku apa yang terjadi. Okey?" Yanti menarik tangan Anis perlahan.

Anis mengangguk kepalanya perlahan. Syukur tidak terkata kerana dikurniakan sahabat seperti Yanti.

"Anis kau tidurlah dulu, ya. Aku pergi tolong nenek aku dekat dapur sekejap. Lagipun aku kena bagi tahu atuk dengan nenek. Nanti dia orang tu pelik pula." Yanti berdiri di tengah bilik sambil memandang Anis yang sudah pun mula menangis.

"Kau nak cakap apa pada nenek dengan atuk kau tu, Yanti?" soal Anis. Dia tidak suka jika Yanti menipu orang tua itu. Tapi dia juga takut jika datuk dan nenek Yanti akan marah bila tahu hal yang sebenar.

"Alah, kau jangan bimbanglah. Aku tahulah nak cakap apa nanti. Sekarang ni lebih baik kau berehat aje. Aku tengok kau ni macam dah lembik sangat dah." Yanti cuba berseloroh. Namun tiada tawa yang terkeluar. Tanpa membuang masa dia terus menuju ke dapur dan meninggalkan Anis sendirian di dalam bilik.

Tiba sahaja di anak tangga dapur, nenek sudah menggamit tangan memanggilnya.

Hurm.... Aku dah agak dah. Nenek mesti nak tahu apa halnya dengan Anis tu, ucap Yanti dalam hati.

"Ya... Nenek?" Yanti melangkah menuju ke arah nenek yang sedang membancuh air.

"Siapa nama kawan Yanti tu? Kenapa awal sangat datang jumpa Yanti?"

Bermulalah soal jawab dengan nenek. Yanti hanya tersenyum dan bersiap sedia dengan jawapan yang munasabah.

"Kawan Yanti tu namanya Anissa. Tapi kat sekolah panggil Anis aje. Yanti yang suruh dia datang sini," jawab Yanti tenang.

"Yanti tak cakap pun nak ajak kawan Yanti datang rumah kita semalam?" Bergema suara datuk yang baru menuruni anak tangga.

Terkejut besar Yanti. Namun sedaya upaya dia menyembunyikan kegelisahannya.

"Alah tok, Yanti lupa nak bagi tahu. Yanti saja ajak Anis tu datang duduk dengan kita ni. Sebab ayah dia tak ada dekat rumah sekarang ni."

"Tak ada dekat rumah?"

"Hurm... Ayah Anis tu kerja bawa lori kontena. Jadi selalu tak ada dekat rumah. Sekarang ni pun dia kerja kat luar. Tak tahu bila balik. Sebab itulah Yanti ajak Anis teman Yanti," panjang lebar Yanti memberi alasan. Dia mahu nenek dan datuknya segera faham.

"Hai... Dia tu tinggal seorang ke dekat rumah?"

Yanti memandang datuknya yang tenang menghirup kopi yang masih berasap. Rasa kecewa juga dengan sikap datuk yang banyak soal. Apa yang susah-susah nak soal siasat pula? Dah bagi tahu kawan tu sudahlah. Ini tak, macam-macam nak ditanya, tempelak Yanti dalam hati.

Yanti menghembus nafas perlahan-lahan. Cuba mencari idea yang baik untuk menangkis semua soalan.

"Ada. Tapi adik-beradik tiri..."

"Dia kena buli ke?!" celah nenek yang terkejut dengan jawapan Yanti sebentar tadi.

Yanti juga tersentak dengan sergahan neneknya itu. Mesti orang tua itu sudah fikir yang bukan-bukan tentang Anis. Hah! Parahlah kalau macam ni, bisik Yanti dalam hati. Sempat lagi matanya memandang ke luar tingkap. Sudah cerah rupa-rupanya.

"Tak adalah, nek. Keluarga dia tu baik aje. Cuma Yanti yang nak sangat Anis tu datang rumah kita ni. Hai...Takkan nenek dengan atuk tak bagi kut? Sekarang ni dah habis sekolahlah. SPM pun dah tamat." Sedaya upaya Yanti mencari topik lain. Bimbang juga jika terlajak bercerita tentang Anis. Datuk dengan neneknya itu lain sedikit.Pantang betul kalau ada yang tak kena dengan masyarakat. Mulalah nak ambil berat.

Yanti duduk di atas kerusi sebelah datuknya. Dia menunggu jawapan sambil memerhati nenek yang sibuk mengadun tepung. Mungkin mahu buat kuih lapis.

"Hurm... Atuk tak kesah pun. Janji keluarga dia tahu yang dia datang rumah kita ni." Ringkas dan padat jawapan yang diberi oleh datuk.

"Mestilah... Lagipun ayah Anis tu sporting. Dia mesti tak kisah kalau Anis habiskan masa dekat rumah kita ni." Yanti tersenyum keriangan.

"Tapi lusa kan umi dengan abah nak jemput Yanti?" Nenek mencelah lagi.

Terkebil-kebil mata Yanti apabila mendengar kata-kata nenek itu. Mati semua angan-angannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co