Truyen3h.Co

Kerana Cinta

Bab 6

karyaseni2u

"Heh, Shahlan! Bangunlah!" Mak Cik Laila menghempuk bantal di atas tubuh Shahlan yang sedang terlentang tidur.

Suzie juga turut memanggil-manggil nama abangnya itu namun langsung tiada reaksi daripada Shahlan.

"Eee... Geram betullah aku budak ni! Kalau dah tidur tu macam dah mati terus pula! Bangunlah hoi!" Tidak tahan dengan sikap Shahlan yang masih buat tak tahu, Mak Cik Laila terus memulas paha lembut Shahlan dengan dua jarinya.

"Arghhh!!! Sakitlah! Apa ni?" Shahlan terus terbangun sambil menggosok kesan cubitan yang masih pedih. Nasib baiklah yang mencubit itu emaknya. Kalau orang lain, sudah lama diterajang jauh.

"Padan muka kau!" ejek Suzie.

"Apa hal kau ni?! Nak rasa penampar aku ke?!" jerkah Shahlan. Meluat betul dia dengan perangai Suzie.

Mak Cik Laila segera menarik lengan Shahlan keluar dari bilik. Sudah tidak sabar lagi mahu tahu apa yang sudah terjadi. Subuh tadi dia sudah memeriksa bilik itu dan mendapati Anis sudah tiada lagi di dalam rumah. Puas dia dan Suzie mencari di sekeliling rumah namun langsung tidak nampak batang hidung Anis. Biarpun hatinya berbunga-bunga dengan pemergian Anis, namun dia tetap nak tahu apa yang sudah Shahlan lakukan terhadap anak tirinya itu.

"Apa hal ni mak? Orang nak tidur pun kacau," rengek Shahlan bagai budak kecil.

"Heh! Kau tahu tak Anis pergi mana? Dia keluar pukul berapa semalam?" Mak Cik Laila mula menyoal Shahlan.

Shahlan yang terpinga-pinga dan masih sedar tak sedar itu hanya mampu terdiam dan cuba mentafsir maksud soalan emaknya.

"Hoi! Abang Lan... Kau ni pekak ke apa, hah? Mak tanya tu? Cepatlah cakap... Eee... Geram betullah dengan kau ni!" Suzie mencebik bibir. Rasa mahu saja dia menepuk-nepuk muka Shahlan yang masih mengantuk itu.

Biarpun masih mengantuk namun Shahlan boleh menangkap dengan jelas kata-kata Suzie. Dia memandang Suzie dengan anak mata yang tajam.

"Kau ni nak kena pijak dengan aku ke? Pagi-pagi macam ni orang makan sarapan tapi kau ni macam nak makan tapak kaki aku pula! Mak yang tanya, kenapa pula kau yang lebih-lebih? Nak kena ke hah?!" Shahlan terus berdiri tegak menghadap Suzie yang sudah mula kecut perut. Shahlan mendengus beberapa kali seperti seladang yang sedang marah. Matanya tepat memandang Suzie dengan perasaan yang sangat marah.

"Ala... Dahlah tu!" Mak Cik Laila segera menenangkan Shahlan. Dia tahu Shahlan memang tidak 'masuk' dengan Suzie. Entah kenapa mereka berdua begitu sedangkan mereka itu adik-beradik kandung.

Shahlan bergerak ke sofa dan terus duduk bersandar. Sesekali dia memejamkan mata. Memang betul dia masih mengantuk.

"Kau buat apa dekat Anis semalam, Lan?" Mak Cik Laila teragak-agak. Sebenarnya dia risau jika Shahlan benar-benar melakukan perkara tidak senonoh terhadap Anis. Kalaulah Anis buat laporan polis. Habislah...

"Buat apanya? Lan tak buat apa-apa pun dekat dia," jelas Shahlan ringkas. Semalam selepas dia mendapat arahan daripada emaknya, dia sudah tak sedap hati. Namun kerana emaknya yang menyuruh, dia ikutkan sahaja. Mujur jugalah waktu itu dia memang sudah mengantuk sangat. Jadi langsung tidak difikirkan lagi tentang nafsu. Sedar-sedar saja Anis sudah tiada di dalam bilik itu.

"Kau cakap betul-betullah, Lan!" Mak Cik Laila masih belum berpuas hati dengan jawapan Shahlan.

"Betullah mak! Lan tak buat apa-apa pun dekat Anis tu. Sentuh dia pun tak. Waktu tu Lan dah mengantuk sangat. Tak ada masa nak fikir benda lain," jelas Shahlan lagi.

"Yalah tu... Boleh percaya ke dengan kau ni? Tengok muka pun dah tahu." Suzie menyampuk lagi. Dan akibatnya...

Pang!

"Mak!"

Shahlan berdiri sambil mencekak pinggang. Nafasnya naik turun. Mak Cik Laila juga turut tergamam dengan tindakan pantas Shahlan.

Suzie memegang pipi yang baru sahaja terkena lima jari besar Shahlan. Berdengung gegendang telinganya saat ini. Air mata juga sudah tidak henti-henti lagi mengalir. Namun suara tangisannya langsung tidak kedengaran.

"Mulut kau ni kurang ajar betul, kan? Sekali lagi kau menyampuk bila aku tengah bercakap, bukan tapak tangan lagi yang aku bagi... Ni, kau nampak penumbuk aku ni?" Keras suara Shahlan memberi amaran.

"Hesy! Sudahlah Lan. Tak baik kau pukul adik kau macam ni," tegur Mak Cik Laila. Bimbang juga jika amarah Shahlan berpanjangan.

"Hah! Peduli apa. Dah mulut kurang ajar macam tu, siapa yang suka? Ni mak, Lan nak cakap lagi sekali ni. Malam semalam Lan tak buat pun macam yang mak suruh tu. Lan cuma masuk tidur aje. Mahunya Anis tu balik, dia mengadu dengan ayah. Tak ke kita semua yang kena? Mak nak ke Lan masuk lokap?" marah Shahlan. Memang emaknya sudah hilang akal sebab menyuruh dia buat sesuatu yang tidak baik kepada Anis semalam. Mujurlah dia tidak ikut.

Mulanya dia tidak faham kenapa emaknya boleh terfikir untuk buat perkara sebegitu kepada Anis. Tetapi apabila difikirkan semula, dia yakin pasti ada sesuatu yang telah berlaku antara Anis dan emak.

"Hurm... Baguslah kalau kau tak buat apa-apa pada Anis. Sekarang ni mak nak kau pergi cari Anis!" arah Mak Cik Laila tegas.

"Eh? Kenapa nak kena cari pula? Bukan ke mak yang nak dia keluar? Malaslah! Biarlah dia nak pergi mana pun!" Shahlan menarik muka tidak senang. Sudahlah semalam disuruh buat benda bukan-bukan, hari ni nak kena cari pula?

Mak Cik Laila menarik muka masam. Angin satu badannya dengan sikap Shahlan itu. Hatinya masih lagi tidak tenteram dengan kehilangan Anis. Dia bimbang kalau-kalau Anis buat laporan kepada ketua kampung atau pihak polis. Dia masih ingat ugutan Anis semalam. Kalau Anis betul-betul buat laporan polis, tak ke haru-biru jadinya? Dia sendiri yang akan malu.

"Argh! Mak tak kira, sekarang ni kau pergi pusing satu kampung! Cari Anis. Kalau boleh kau pergi balai polis sekali!"

"Balai polis?" Shahlan tercengang. Dia memandang emaknya yang seakan-akan gelisah.

Suzie yang masih duduk di sebelah Mak Cik Laila juga turut terkejut dengan cadangan emaknya itu. Pelik pula kenapa emak menyuruh Shahlan pergi mencari Anis sampai ke balai polis. Kalau Anis ada di dalam balai polis tu macam mana? Tak sempatlah Shahlan hendak larikan diri. Macam menyerah diri pula namanya.

"Mak nak kau pergi balai polis tu, tengok-tengok kalau Anis ada pergi sana. Lepas tu jenguk-jenguk juga dekat rumah ketua kampung. Selagi ayah belum balik ni, lebih baik kita cari dia dulu. Kalau ayah dah balik nanti baru nak jumpa Si Anis tu lagi susah. Lainlah kalau dia dah lari jauh."

Shahlan dan Suzie terdiam sambil berfikir.

Ada betulnya kata-kata mak tu. Kalau aku jumpa Anis bolehlah aku warning dia dulu sebelum dia bagi tahu ayah, bisik Shahlan dalam hati sambil mengangguk perlahan.

Mak Cik Laila bangun dari tempat duduknya. Dia juga mahu keluar ke kedai berhampiran. Mana tahu kalau ada orang bercerita terserempak dengan Anis malam tadi.

Suzie juga turut menuruti langkah emaknya. Dia tak ada selera hendak menghadap muka Shahlan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co