Bab 7
Anis memandang beg pakaiannya. Beg sekolah yang berisi dokumen-dokumen penting dibuka perlahan-lahan. Anis mengeluarkan satu bungkusan plastik. Duit simpanannya yang entah berapa jumlahnya itu ditenung lama.
"Kau buat apa tu, Anis?"
Anis cepat-cepat memasukkan semula bungkusan plastik ke dalam begnya.
"Kenapa dengan kau ni?" soal Yanti, pelik.
"Aku ingatkan siapa tadi. Kau rupa-rupanya..." Anis menyimpan semula beg sekolah ke dalam beg bajunya yang besar.
Yanti memerhati wajah Anis. Biarpun Anis tidak bercerita tentang apa yang sudah terjadi, namun Yanti pasti ada sesuatu yang telah terjadi di rumah Anis. Tak mungkin Anis mahu melarikan diri sebegini. Bukan dia tidak tahu selama ini Anis sudah banyak bersabar dan bertahan dengan kerenah keluarga tirinya itu.
"Yanti, nenek dengan atuk kau baik, kan?" Anis cuba menukar tajuk perbualan. Dia tahu Yanti sedang membaca riak wajahnya itu. Sejak tadi Yanti mendesak supaya dia memberitahu hal yang telah terjadi. Namun Anis tidak sampai hati untuk bercerita. Dia sendiri terasa amat malu dengan kejadian yang menimpanya.
"Hurm... Okeylah. Atuk aku tu tegas bertempat. Nenek aku pula jenis ikut aje apa kata suami dia. Kalau atuk aku cakap okey, dia pun okeylah. Sebab itulah aku suka tinggal dengan dia orang. Biarpun dia orang tu orang tua tapi dia orang tu tak kolot dan mudah dengar pendapat aku."
Anis tersenyum mendengar cerita Yanti .
"Habis, nanti kau pergi KL tak apa ke nenek dengan atuk kau tu?"
"Hurm... Itu lagi satu hal. Sebenarnya aku pun nak bagi tahu kau satu perkara ni." Yanti teragak-agak untuk bercakap.
"Apa halnya?"
"Lusa umi dengan abah aku nak datang ambil aku. Aku risaulah tentang kau, Anis." Yanti serba salah.
Anis mula tidak sedap duduk. Dia sendiri resah. Jika Yanti sudah mengikut umi dan abahnya pulang ke Kuala Lumpur, ke mana dia harus pergi?
"Kau nak tak ikut aku pergi KL?" Melihat keresahan yang jelas terpancar di wajah Anis, Yanti tidak sampai hati.
"Boleh ke?" Anis betul-betul terkejut dengan pelawaan Yanti itu. Jika Yanti dan keluarganya tidak kesah, dia memang mahu ikut ke mana sahaja Yanti pergi. Alang-alang dia sudah lari dari rumah, lebih baik tak balik langsung!
"Mestilah, kan aku yang ajak. Takkan tak boleh pula?" Yanti seronok melihat wajah Anis yang sudah berubah ceria.
"Maksud aku, umi dengan abah kau tak kesah ke?"
"Alah... Umi aku tu okeylah. Nanti aku telefon dia orang bagi tahu kau nak ikut aku." Yanti tersenyum riang kepada Anis.
Bagai ada pelangi yang meniti di hujung langit. Cantik dan indah warna hingga mengundang rasa tenang dan damai dalam hati. Pelawaan Yanti itu adalah satu rahmat paling besar buat Anis.
"Terima kasih, Yanti. Kalau kau tak ada, aku tak tahu nak pergi mana," luah Anis.
"Tak guna jadi kawan kalau tak boleh nak tolong kawan yang dalam kesusahan. Oh ya... Rumah aku ni lagi jauh dari rumah nenek kau, kan? Kenapa kau tak pergi dulu rumah atuk kau? Bukan ke Atirah ada?" Sejak tadi Yanti tertanya-tanya kenapa Anis tidak menyusul ke rumah datuknya sendiri. Bukan dia berniat mahu menolak kehadiran Anis, tetapi dia masih tidak faham akan tindakan Anis itu.
Anis terdiam. Dia juga langsung tidak terfikir untuk ke rumah itu sebenarnya. Sebolehnya dia tidak mahu datuk, nenek dan Atirah tahu dia telah lari dari rumah ayah.
"Eh? Kau nak tahu tak... Helmi bagi aku hadiah semalam." Anis menukar topik sekali lagi.
"Ya ke? Hadiah apa? Aku nak tengok boleh?" Beria-ia Yanti mahu melihat hadiah yang diperkatakan oleh Anis itu.
"Dia bagi aku handphone." Anis tersenyum malu.
"Huiii... Cemburunya aku dengan kau orang ni. Bagilah aku tengok. Bolehlah ek?" Yanti cuba merengek-rengek.
Anis mengerutkan dahinya. Kasihan dengan Yanti yang beria-ia sangat.
"Tapi hadiah tu tak ada dengan aku. Aku dah serahkan kepada Atirah. Kau faham sahajalah macam mana perangai kakak tiri aku tu."
"Hurm... Kalau macam tu, jomlah kita ambil balik telefon kau tu dari Atirah!"
"Hah?" Dahi Anis berkerut kehairanan.
"Kenapa kau bagi hadiah pemberian pakwe kau tu dekat adik kau? Lagipun Atirah tu sekolah lagi, dia tak boleh guna benda macam tu. Nanti boleh rosakkan fikiran dia!" Yanti sebenarnya tidak sedap hati. Biarpun Atirah itu adik Anis dan dia sendiri kenal rapat dengan gadis itu, namun entah kenapa dia tidak mahu mempercayai Atirah.
"Hesy! Aku takutlah. Mana tahu kalau terserempak dengan mak tiri atau adik-beradik tiri aku. Aku takutlah dia orang heret aku balik rumah." Anis tidak berani mengambil risiko.
Yanti duduk kembali di birai katil. Otaknya ligat berpusing mencari idea untuk mengelak daripada terserempak dengan keluarga tiri Anis.
"Hurm... Aku ada idea!" Yanti terus meluru ke arah almari pakaiannya.
Anis hanya memandang tepat ke arah Yanti yang sibuk mengeluarkan tudung dan pakaiannya. Entah apa idea Yanti dia pun tidak berapa pasti.
Seperti yang disarankan oleh Yanti, Anis akhirnya selamat tiba di hadapan rumah neneknya dengan tudung tersarung kemas di kepala dan berbaju kurung Pahang. Anis mendekati Atirah yang tersenyum-senyum menyambutnya.
"Kakak rupa-rupanya. Ingatkan siapa tadi. Manisnya kakak pakai macam ni," puji Atirah. Dia bersalaman dengan Yanti dan menjemput mereka berdua masuk ke dalam rumah.
"Nenek mana Atirah?" soal Anis.
"Nenek ada. Di dapur agaknya. Nanti Atirah panggilkan, ya." Atirah melangkah dengan sopan menuju ke arah dapur. Namun belum pun langkahnya sampai ke dapur, Atirah telah ditahan oleh Anis.
"Atirah, kakak datang ni nak ambil balik handphone kakak tu. Nanti tolong ambilkan, ya," bisik Anis perlahan.
Atirah terkebil-kebil, namun dia tersenyum semula.
"Oh, ingatkan apalah tadi. Nanti Atirah bagi tau. Kejap, Atirah pergi panggil nenek dulu." Atirah terus meninggalkan Anis.
Anis mengangguk dan segera kembali kepada Yanti yang sedang bermain dengan anak kucing.
Yanti memandang kedua-dua belah tangan Anis.
"Mana handphone kau?" Tiada perkara lain lagi yang ingin dia tahu.
"Kejaplah, adik aku panggil nenek aku dulu. Balik nanti dia bagilah dekat aku!" Anis duduk di atas kerusi semula sambil matanya meliar melihat gambar-gambar lama yang tergantung di dinding rumah. Leka dia memerhati setiap gambar, namun tiba-tiba matanya tertarik pada satu gambar. Anis bangun dan berjalan menghampiri dinding rumah. Wajah orang di dalam gambar diamati betul-betul. Rasanya itu adalah gambar ayah dengan arwah mak. Tapi agak pelik kenapa di dalam gambar itu hanya ada ayah, emak dan Atirah yang masih lagi kecil.
"Kamu dari mana ni, Anis?" Satu suara tiba-tiba menegurnya dengan nada yang tegas.
Anis segera berpaling dan tersenyum.
"Nenek rupa-rupanya. Nenek sihat?" Anis tidak terus menjawab soalan neneknya sebaliknya menerpa mencapai tapak tangan wanita yang sudah dimamah usia itu lalu mengucup perlahan. Yanti turut melakukan perkara yang sama. Anis dan Yanti duduk di atas kerusi sambil menghadap Hasmah.
"Dah habis sekolah ni lebih baik kamu cari kerja, Anis. Nun! Di kilang, berlambak nak pakai orang. Duduk rumah makan tidur, makan tidur pun tak guna. Membazir duit ayah kau aje!"
Anis hanya terdiam. Belum apa-apa lagi sudah kena leter dengan nenek. Malu pula rasanya kali ini. Bukan dia benci dengan leteran nenek itu, tapi takkan nenek tidak sedar ada orang lain di situ? Takkanlah di depan orang pun nak dileternya juga?
Yanti tidak sedap hati dengan sikap nenek Anis. Dia sebenarnya kasihankan Anis. Mungkin teman baiknya itu malu diperlakukan begitu di hadapan kawan-kawan. Mujurlah nenek dan atuknya tidak macam tu. Rasanya mahu sahaja dia angkat kaki dan membiarkan Anis bersama neneknya sendiri. Tapi apa pula nenek Anis akan cakap?
Lama Anis terdiam sebelum menjawab lembut.
"Tak adalah, nek. Baru semalam Anis habis SPM, Niat hati tu memang nak kerja sementara tunggu keputusan ni. Tapi tengoklah dulu. Kerja kilang bukan tak bagus cuma letih sikit. Yalah... Kerja kilangkan ada syif. Takut..."
"Letih apanya? Kamu tu budak muda. Orang tua pun ramai yang kerja kilang, kamu tahu? Duduk rumah bukan buat apa pun. Sikit-sikit minta duit. Ayah kamu tu kerja teruk-teruk nak bagi makan kamu. Sekarang ni dah habis sekolah carilah duit sendiri! Jangan asyik fikir nak susahkan orang tua aje! Kesian dekat Atirah tu. Dia masih sekolah lagi. Kalau kamu tak kerja, susahlah ayah kamu. Belanja Atirah lagi, kamu lagi."
Anis mula tidak sedap duduk. Kata-katanya tadi belum habis nenek pula terus-terusan membebel. Macam ada yang tidak kena sahaja dengan dirinya itu. Kenapa sampai macam itu sekali nenek meleterinya? Macam salah besar pula kalau tidak bekerja. Lagipun ayah tak pernah merungut pun. Bukan dia dengan Atirah sahaja yang ayah bagi makan. Yang dekat rumah lagi tu siapa yang tanggung kalau bukan ayah. Nenek dengan atuk pun ayah juga yang bagi duit.
Namun Anis tetap tersenyum. Mana boleh melawan cakap orang tua. Lagipun dia sudah biasa. Bukan baru sekarang nenek melayan dia sebegitu. Sejak kecil lagi dia sudah dilayan sedemikian rupa. Lain pula cara nenek melayan Atirah. Penuh dengan kasih sayang dan manja lagi. Namun Anis tidak pernah cemburu. Baginya itu perkara biasa. Emak juga pernah berpesan jangan sesekali terasa dengan sikap nenek dan atuk.
"Hurm... Kamu duduklah. Nenek ada kerja nak buat dekat dapur tu."
Anis mengangguk sambil menghantar nenek dengan sorotan mata.
"Hei? Dah kenapa dengan nenek kau tu?" bisik Yanti. Baru lega sikit rasanya apabila nenek Anis sudah melangkah pergi. Tak sanggup lagi rasanya hendak mendengar leteran orang yang sudah lanjut begitu. Macam tak lojik pun ada juga. Kenapa Anis pula yang disuruh bekerja?
Memang sudah jadi tanggungjawab seorang ayah untuk menyediakan keperluan untuk anaknya. Lagipun Anis kan belum berkahwin. Kalau orang tua Anis itu kena bagi makan Atirah, dia tetap tak boleh abaikan Anis. Tak kiralah Anis sudah bekerja atau tak.
Eee... Geram betullah aku dengan orang tua ni. Nasib baik bukan nenek aku. Kalau tak, dah lama aku berdebat, omel Yanti dalam hati.
Anis tidak mampu menjawab soalan Yanti.
"Yanti tunggu kejap tau. Aku pergi cari Atirah. Lepas aku ambil handphone tu kita balik, ya?" Anis melangkah perlahan-lahan menuju ke bilik Atirah. Tetapi belum sempat dia masuk ke dalam bilik...
"Kakak, jom makan nasi lemak dulu. Nenek dah siapkan," ajak Atirah. Atirah tiba-tiba muncul dari dapur dengan mengusung talam.
Anis kembali ke tempat duduknya semula.
"Atirah, kakak ada hal nak cakap dengan Atirah ni." Anis sedaya upaya merendahkan nada suaranya supaya tidak didengari oleh nenek.
"Ada hal apa, kakak? Macam penting aje ni?" Atirah memandang wajah Anis yang serius. Namun begitu tangannya sibuk menghidangkan nasi lemak dan air di atas meja.
"Kakak nak pergi KL. Nanti tolong bagi tahu ayah tau."
"Bila kakak nak pergi?" Atirah bertanya lagi. Terkejut juga dengan berita itu. Namun dia berlagak tenang.
"Kakak ikut Kak Yanti dengan family dia. Tapi jangan bagi tahu nenek atau sesiapa tau. Bila ayah balik nanti, Atirah bagi tahu ayah seorang saja, ya?" Anis berharap sangat supaya Atirah dapat menyimpan rahsia.
"Baiklah, kakak. Jaga diri kakak baik-baik. Kalau jadi apa-apa jangan terus tinggal di sana. Kakak balik je terus dekat sini," pesan Atirah bersungguh-sungguh.
"Sebab itulah kakak nak ambil handphone kakak tu balik. Nanti bila dah sampai sana bolehlah kakak berhubung dengan Atirah. Bolehlah kakak bertanya khabar Atirah dengan ayah." Anis menyuap nasi lemak perlahan-lahan ke dalam mulut. Biarpun perutnya lapar namun entah kenapa kerongkongnya tidak mahu menerima makanan itu. Mungkin kerana hatinya berat nak meninggalkan adik yang seorang itu dan terpaksa berjauhan dari ayah
"Hurm... Betul juga tu. Kejap ya, kakak. Atirah pergi ambilkan. Kakak dengan Kak Yanti makanlah dulu, ya?"
Yanti dan Anis mengangguk. Namun setelah lima belas minit berlalu, Atirah tidak juga muncul-muncul. Dan lebih memburukkan keadaan, nenek pula muncul dan menyambung leterannya. Itu ini dia berpesan kepada Anis hingga berkerak tahi telinga mendengarnya. Sudahnya Anis membuat keputusan untuk pulang tanpa mendapatkan semula telefon bimbitnya. Ketika kedua-dua remaja itu berkhayal memikirkan perangai Atirah yang sedikit aneh, tiba-tiba tayar motosikal yang dinaiki bergelong-gelong meredah batas sawah.
"Argh!!!" Serentak mereka berdua menjerit. Berkecamuk selut terpercik di wajah masing-masig.
"Kurang ajar punya kereta, hoi!" Yanti menjerit kuat.
Kereta Proton Saga berwarna putih berhenti di hadapan mereka.
Anis dan Yanti terdiam dan memerhati ke arah pintu kereta. Namun tiada sesiapapun yang keluar dari kenderaan itu. Sebaliknya perlahan menyusur pergi.
Dalam cuaca yang panas terik itu, Anis tiba-tiba berlari mengejar kereta tersebut lalu melontarkan sesuatu di belakang kereta.
Yanti yang memerhati terlopong luas namun hanya terdiam. Terkejut juga dengan tindakan Anis itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co